WEBINAR ANJURAN UPMKB TARIK LEBIH 210 PESERTA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » WEBINAR ANJURAN UPMKB TARIK LEBIH 210 PESERTA

WEBINAR ANJURAN UPMKB TARIK LEBIH 210 PESERTA

DAPAT SAMBUTAN: Webinar dan ahli panel jemputan yang menjayakan program.


BINTULU: Penganjuran Program Webinar Ilmu Peringkat Kebangsaan 2023 Siri 1: ‘How to learn better - Tips on improving the working memory ability’ yang dianjurkan secara dalam talian pada 17 Jun lalu telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar institusi pendidikan terlibat.

Jurucakap penganjurnya berkata, program tersebut merupakan anjuran Seksyen Kaunseling dan Kebajikan Pelajar (SKKP) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sri Rajang UPMKB.

“Ia mendapat kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Mukah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu (UniSZA), Kolej Poly-Tech MARA Kota Baru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang Selangor, SMK Luak Miri, SMK Singai Kuching, SMK Asyakirin Bintulu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang Selangor,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Katanya, ia menarik penyertaan lebih 210 peserta institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, penceramah jemputan Mohamad Azhari Abu Bakar merupakan kaunselor berdaftar dan juga pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia UNIMAS.

Jelasnya, ia dianjurkan untuk membantu meningkat kebolehan ingatan kerja serta mengasah keupayaan pelajar dalam pembelajaran dan penaakulan supaya dapat diaplikasikan untuk mengukuhkan sesi pembelajaran.

“Dengan kemahiran daya ingatan kerja baik, pelajar dapat memaksimumkan sesi pembelajaran dan menggunakan strategi efektif untuk membantu penguasaan subjek dan pencapaian akademik,” katanya.

Katanya, ingatan kerja merupakan fungsi penting dalam otak manusia terutamanya dalam proses penyelesaian masalah, mengikut arahan, merancang tindakan, mengikut jadual dan mengatur aktiviti.

Tambahnya, peserta didedahkan pengenalan kepentingan antara niat dan perhatian dalam proses belajar, perkaitan ingatan kerja dan aktiviti harian, perkara menyebabkan ingatan kerja lemah dan mengganggu proses belajar, mitos cara belajar serta ingatan kerja.

“Antara kaedah penyampaian diguna penceramah ialah sesi perkongsian mengguna slaid pembentangan dan penggunaan aplikasi padlet dan mentimeter untuk berinteraksi bersama peserta,” katanya.

Beliau berkata, penceramah turut berkongsi kaedah membantu ingatan kerja dan proses pembelajaran berkenaan matlamat ketika proses belajar, membahagikan sesuatu tugasan atau aktiviti kepada komponen kecil.

Tarikh Input: 26/06/2023 | Kemaskini: 30/06/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAc~