UPM KAMPUS BINTULU DALAM PROSES TAMBAH PROGRAM PERUBATAN VETERINAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » UPM KAMPUS BINTULU DALAM PROSES TAMBAH PROGRAM PERUBATAN VETERINAR

UPM KAMPUS BINTULU DALAM PROSES TAMBAH PROGRAM PERUBATAN VETERINAR

KUCHING: Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sedang dalam proses untuk menambahkan program pengajian doktor perubatan veterinar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha itu bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berkenaan sekali gus menangani masalah kekurangan doktor veterinar di negeri ini.

Menurut beliau, kementeriannya turut membantu untuk mewujudkan program pengajian tersebut bersama UPM Kampus Bintulu.

“Kementerian kita sedia membantu malah akan memberikan sokongan penuh kepada usaha untuk melahirkan lebih ramai doktor veterinar di Sarawak.

“Apatah lagi, ini merupakan satu langkah ke hadapan kita ke arah memenuhi aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penghargaan 2023 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) di sebuah hotel di sini, malam Ahad.

Sementara itu, Dr Rundi memberitahu kes rabies di Sarawak masih mencatatkan peningkatan dan oleh itu, ia memerlukan perhatian  serius daripada semua pihak.

Katanya, penglibatan mereka penting bagi mengelakkan kes rabies terus berleluasa
sekali gus menjadi sukar dikawal.

“Kita memerlukan kerjasama penuh pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO), pemilik anjing untuk bersama JPVS.

“Hal ini bukannya sesuatu yang boleh kita ambil mudah dan saya harap semua pihak akan membantu terhadap usaha membasmi wabak rabies di Sarawak,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran jika digigit anjing bagi mengelak penularan wabak rabies.

“Sebaik sahaja anda digigit anjing, anda mesti mendapatkan rawatan perubatan kerana rabies boleh dirawat dan dicegah,” ujarnya.

Pada majlis itu, Dr Rundi turut menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022, sijil Penghargaan Pesara 2023 dan sijil Penghargaan Kakitangan Tamat Kontrak 2023 kepada para penerima. 

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud.

Tarikh Input: 14/11/2023 | Kemaskini: 14/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcJA2~