SULTAN BANGGA PROJEK UPM TRANSFORMASI TANAMAN PADI TINGKAT HASIL BERAS TEMPATAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » SULTAN BANGGA PROJEK UPM TRANSFORMASI TANAMAN PADI TINGKAT HASIL BERAS TEMPATAN

SULTAN BANGGA PROJEK UPM TRANSFORMASI TANAMAN PADI TINGKAT HASIL BERAS TEMPATAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bangga kerjasama Universiti Putra Malaysia kampus Bintulu (UPMKB) dan Pejabat Premier Sarawak dalam projek Transformasi Penanaman Padi AgriHub@Gedong.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah projek itu mampu memberi dampak keterjaminan makanan negara khususnya di Sarawak dalam peningkatan hasil beras tempatan.

“Baginda turut berkenan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg kerana sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan UPMKB.

“Baginda juga percaya pelaksanaan Pelan Strategik UPM 2021-2025 telah memberi perkembangan positif kepada UPMKB, Sarawak,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Semalam, Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47 sidang satu di Dewan Sri Kenyalang kampus Bintulu, Sarawak.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM turut bertitah penghasilan seramai 8,413 alumni UPMKB sejak pembukaan kampus itu pada 2001 menjadi fungsi penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir untuk keperluan sektor ekonomi negara.

Sultan Sharafuddin juga percaya usaha yang giat dijalankan UPM akan mengubah landskap pendidikan negara khususnya di Sarawak sekali gus memenuhi keperluan sumber tenaga kerja pakar negeri itu.

“Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 487 graduan yang berjaya menamatkan pengajian di UPM Kampus Bintulu dan diraikan dalam istiadat berkenaan,” tambah kenyataan itu.

 

 

Tarikh Input: 06/11/2023 | Kemaskini: 06/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcEAf~