SARAWAK BUKA 10,000 HEKTAR TANAMAN PADI TANGANI ISU HARGA BERAS MAHAL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » SARAWAK BUKA 10,000 HEKTAR TANAMAN PADI TANGANI ISU HARGA BERAS MAHAL

SARAWAK BUKA 10,000 HEKTAR TANAMAN PADI TANGANI ISU HARGA BERAS MAHAL

Gedong: Sarawak yakin tidak akan menghadapi krisis bekalan beras apabila kawasan seluas 10,000 hektar yang ditanam dengan padi hibrid mengeluarkan hasil sepenuhnya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, berdasarkan hasil kajian yang dilaksanakan Universiti Putra Malaysia (UPM), kawasan penanaman padi di Gedong, Simunjan, Lundu, Banting serta Lingga mampu mengeluarkan beras sekali ganda lebih banyak daripada jumlah yang diimport ketika ini.

Justeru katanya, dengan pengeluaran dianggarkan 400,000 tan dalam tempoh 24 bulan di kawasan tanaman yang sudah dibuka itu, Sarawak dalam keadaan selamat daripada masalah kekurangan bekalan beras pada masa akan datang.

"Antara faktor yang membuatkan harga beras mahal ialah disebabkan kita mengimport dari luar negara khususnya India serta Vietnam dan apabila import bermakna kita menggunakan mata wang Amerika Syarikat (AS).

"Sebab itu, saya memutuskan untuk membuka kawasan penanaman yang luas dan meminta pakar termasuk dari UPM untuk menjalankan kajian, termasuk penggunaan teknologi terkini dan jentera serta kesesuaian tanah kerana apabila kita mengeluarkan beras sendiri, kita boleh mengawal harga lantai apabila tidak bergantung kepada mata wang asing lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penuaian padi hasil projek perintis yang dilaksanakan UPM di Kampung Lubok Punggor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, menerusi projek perintis itu yang dijalankan bersama penduduk Kampung Lubok Punggor, didapati satu hektar mampu menghasilkan antara lima hingga lapan tan semusim.

"Dalam tempoh 24 bulan, penanaman dijalankan lima musim dan ini bermakna dalam tempoh itu, satu hektar boleh menghasilkan sehingga 40 tan padi dan penduduk yang terbabit dalam projek ini mempunyai dua hektar sawah yang bermaka mereka mampu menghasilkan 80 tan dalam tempoh 24 bulan itu.

"Ini bermakna jika kawasan 10,000 hektar mengeluarkan hasil, dalam tempoh 24 bulan kita boleh menghasilkan 400,000 tan beras dan jumlah padi yang dihasilkan petani tempatan itu jauh lebih tinggi daripada 245,000 tan yang kita import sekarang," katanya.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan besar untuk membina sistem perparitan atau tali air sempurna di semua kawasan yang akan dijadikan jelapang padi.

"Untuk kawasan Lubok Punggur ini sahaja, sejumlah RM30 juta disediakan kerajaan Sarawak untuk membina tali air," katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan pendapatan petani tempatan, kerajaan Sarawak juga meningkatkan harga lantai padi yang dihasilkan.

"Jika di peringkat nasional harga lantai yang ditetapkan adalah RM1,300 satu tan, kerajaan Sarawak pula menetapkan RM1,800 satu tan bagi padi yang dihasilkan petani tempatan.

"Ini bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran malah membantu meningkatkan pendapatan petani daripada RM1,000 semusim kepada RM6,000," katanya.

 

Tarikh Input: 27/02/2024 | Kemaskini: 27/02/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbXAg~