RAYA ADALAH KEMENANGAN MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA, KEMENANGAN BERJAUHAN DAN BERKELANA MENCARI REZEKI DI BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » RAYA ADALAH KEMENANGAN MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA, KEMENANGAN BERJAUHAN DAN BERKELANA MENCARI REZEKI DI BINTULU

RAYA ADALAH KEMENANGAN MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA, KEMENANGAN BERJAUHAN DAN BERKELANA MENCARI REZEKI DI BINTULU

Dalam dunia yang semakin hari semakin mencabar, pendidikan dan sikap berdikari adalah sebuah kunci untuk mengubah masa depan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, ramai orang beranggapan bahawa generasi muda zaman sekarang kurang beretika ketika bersosial dan tidak sekental orang lama dalam menghadapi alam pekerjaan dan dikatakan sangat manja.
 
Menurut seorang pensyarah wanita yang sedang berkhidmat di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr. Yasmin Yaccob berjaya menjadi seorang pensyarah berkat usaha dan kesabaran yang ingin mengejar cita-citanya. Beliau berkata sepanjang beliau menyambung pengajian di peringkat Master dan PhD itulah zaman keperitannya kerana terpaksa bekerja sambil belajar.
 
“Bayangkan dengan kerja hakiki di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sedang siapkan tesis Phd ketika itu. Yang paling menyedihkan ketika bulan Ramadan, saya tidak dapat pulang untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga kerana terlalu sibuk.
 
“Saya tidak dapat bertemu dengan ibu bapa saya dalam tempoh enam bulan. Walau bagaimanapun, Saya bernasib baik kerana UPM dan KBS, Putrajaya agak dekat dan memudahkan urusan saya untuk berjumpa dengan penyelia di UPM.
 
“Semasa bekerja di KBS ketika itu, pendapatan saya tidak dapat menampung pembiayaan pengajian. Jadi saya terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung kos yuran pengajian di UPM walaupun kesihatan saya terjejas kerana terlalu letih,” katanya.
 
Anak keempat daripada lapan beradik ini tidak menyangka beliau berjaya memperoleh Phd tepat pada waktunya dan paling menggembirakan apabila beliau berjaya mencapai cita-citanya menjadi seorang pensyarah kanan pada 3 Mac 2020 di UPMKB.
 
Beliau yang berasal dari Selama, Perak kini sedang berkhidmat di UPMKB selama empat tahun di Bintulu, Sarawak. Di UPMKB beliau berseorangan tanpa keluarga tercinta di sisi lagi-lagi pada bulan Ramadan.
 
“Rata-rata orang yang mempunyai keluarga sangat beruntung kerana dapat berbuka puasa bersama keluarga. Namun di Bintulu, Sarawak saya sangat bersyukur kerana terdapat rakan-rakan yang berbuka puasa sekali walaupun berbeza agama dan budaya.
 
“Kita semua boleh hidup seorang diri di mana sahaja. Kecekalan adalah sumber kekuatan untuk menempuh segala ujian. Saya telah merantau keluar dari rumah selepas tamat SPM sehinggalah sekarang.
 
“Ujian dan cabaran saya, ada kalanya emosi dan kewangan tidak stabil. Namun, minda kita perlu sentiasa berada dalam keadaan positif untuk meneruskan kehidupan walau dimana sahaja kita berada,” ujarnya.
 
Raya berkaitan dengan kemenangan menahan lapar dan dahaga setelah sebulan berpuasa. Kemenangan daripada berjauhan dan berkelana mencari rezeki di Bintulu dan menahan emosi diri.
 
Dalam konteks ini, "Psikologi Raya" mungkin merujuk kepada bagaimana impak sambutan Hari Raya terhadap kesejahteraan emosi individu, dinamik keluarga semasa perayaan semasa menghadapi tekanan.
 
Perjalanan hidup seseorang memang bersimpang-siur. Sehinggakan ada dalam kalangan kita sering berasa keliru. Namun, jangan pernah mengalah dan berusahalah seorang diri demi mencapai kejayaan.
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 08/04/2024 | Kemaskini: 08/04/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
WXFbHAJ~