PUTRA UPTOWN 2.0: MEMBENTUK USAHAWAN MUDA DI UPM BINTULU DENGAN BENGKEL KEWANGAN DAN PELUANG PASARAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUTRA UPTOWN 2.0: MEMBENTUK USAHAWAN MUDA DI UPM BINTULU DENGAN BENGKEL KEWANGAN DAN PELUANG PASARAN

PUTRA UPTOWN 2.0: MEMBENTUK USAHAWAN MUDA DI UPM BINTULU DENGAN BENGKEL KEWANGAN DAN PELUANG PASARAN

BINTULU, 28 - 29 Oktober 2023 - Program Putra Uptown 2.0, yang diadakan pada 28 dan 29 Oktober 2023, merupakan inisiatif pelajar kursus kokurikulum QKH 2104 Usahawan Siswa di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). Program ini, yang merupakan kelanjutan dari program tahun lalu, bertujuan memperkenalkan kemahiran keusahawanan praktikal kepada pelajar.
 
Dalam usaha meningkatkan kemahiran kewangan pelajar, program ini telah menyelenggarakan bengkel celik kewangan. Bengkel ini diadakan di bawah bimbingan penceramah berpengalaman termasuk En. Yeo Wee Kiak, Penasihat Kewangan dan Timbalan Pengurus Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Bank Negara Malaysia Cawangan Sarawak, serta Cik Sopia Anak Saging, Naib Presiden Youth Empowerment Club (YEC).
 
Bengkel ini turut disertai oleh Encik John Vianney Anak Francis, Cik Engelina Bungan serta Cik Emelia Philip sebagai Fasilitator. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk memberikan pengetahuan yang efektif tentang pengurusan kewangan. Acara jualan yang diadakan juga dijadikan contoh pengurusan perniagaan secara praktikal dan mencipta platform untuk penjual luar. Dr. Sharon Ong Yong Yee, penasihat program Putra Uptown 2.0, menyatakan, "Melalui Program Putra Uptown, kita tidak hanya mengajar kemahiran keusahawanan tetapi juga membentuk pemimpin masa depan yang berdaya saing dan kreatif."
 
Program ini mendapat sambutan daripada kalangan pelajar UPM, memperlihatkan minat yang meningkat dalam bidang keusahawanan. Pada hari pertama, sekitar 50 pelajar telah menghadiri bengkel ini yang berlangsung dari 8 pagi hingga 2 petang, diisi dengan aktiviti interaktif dan permainan celik kewangan. Hari kedua menampilkan jualan di tempat parkir Pusat Islam UPMKB, dengan kehadiran 12 penggerai. Pelajar dan staf UPM turut serta dalam acara jualan ini, memberi sokongan kepada penggerai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan - dari gerai sushi hingga corndog dan air balang.
 
Julaika Binti Hassan, Pengarah Program Putra Uptown 2.0, berkata, "Saya menghargai peluang yang diberikan untuk menganjurkan program ini dan berterima kasih atas keterlibatan serta dedikasi pelajar, baik sebagai peserta mahupun AJK, dalam menjayakan program ini." Program Putra Uptown 2.0 tidak hanya berjaya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan tetapi juga dalam membina hubungan dan perkhidmatan kepada komuniti di kalangan pelajar UPM Bintulu.
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 08/12/2023 | Kemaskini: 08/12/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbWAH~