PUTRA ECO-IFTAR, PROGRAM BERKONSEPKAN KELESTARIAN HIJAU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUTRA ECO-IFTAR, PROGRAM BERKONSEPKAN KELESTARIAN HIJAU

PUTRA ECO-IFTAR, PROGRAM BERKONSEPKAN KELESTARIAN HIJAU

BINTULU 15-16 Mac 2024, Program Putra Bakti: Putra Eco-Iftar mendapat sambutan sangat baik daripada warga kampus dan komuniti sekitar Bintulu. Program yang dilaksanakan sempena bulan Ramadan ini merupakan program anjuran Pelajar-pelajar Kursus Ko kurikulum Berkredit Bakti Siswa Kumpulan 3, Semester Kedua Sesi 2023/2024 UPM Kampus Bintulu Sarawak dengan kerjasama Bahagian Perpustakaaan UPMKB dan Jawatankuasa Pusat Islam UPMKB.
 
Program yang berlangsung pada 16 Mac 2024 bertempat di Pusat Islam UPMKB memfokuskan aktiviti-aktiviti berkonsepkan kelestarian hijau dan aktiviti-aktiviti yang membina kemahiran insaniah kepada para peserta.
 
Menurut Pengarah Program, Muhammad Shahiddin bin Rosli berkata, tema alam sekitar diangkat pada program kali ini. Peserta didedahkan dengan pengetahuan pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) agar lebih cakna dan dapat memberi sumbangan dalam kesejahteraan alam sekitar melalui pelbagai kaedah.
 
Slot ceramah telah disampaikan oleh Puan Siti Hajar Wahab, dari Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Bintulu menekankan pentingnya menguruskan barangan e-waste dengan cekap dan kitar semula bahan yang masih boleh digunakan. Pertandingan berkonsepkan mesra alam juga diketengahkan agar dapat memupuk semangat berpasukan dan meningkatkan kesedaran pelajar untuk mengamalkan amalan kitar semula.
 
Seramai 18 orang peserta telah mengambil bahagian dalam Pertandingan tulisan khat yang mencungkil bakat kesenian dan memeriahkan bulan yang penuh keberkatan. Disamping itu juga, Program Infaq perdana yang berlangsung sejak dari 16 Mac sehingga 7 April 2024 memberi peluang kepada warga kampus dan komuniti Bintulu amnya untuk menginfakkan barangan atau pakaian bagi mereka yang memerlukan.
 
Ketua Bahagian Perpustakaan , Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan, berkata Infaq Perdana ini merupakan aktiviti tahunan Perpustakaan apabila menjelang Bulan Ramadan. Apa yang menarik, pada tahun ini, ia dianjurkan dengan kerjasama Pelajar Bakti Siswa UPMKB bersama Jawatankuasa Pusat Islam dan diadakan di ruangan yang lebih besar dan terbuka kepada seluruh masyarakat sekitar Bintulu. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 20/03/2024 | Kemaskini: 20/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcQAb~