PUTRA BAKTI BERGULAI KASIH BERSAMA UPMKB MENGANGKAT KEUNIKAN TRADISI MASYARAKAT IBAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUTRA BAKTI BERGULAI KASIH BERSAMA UPMKB MENGANGKAT KEUNIKAN TRADISI MASYARAKAT IBAN

PUTRA BAKTI BERGULAI KASIH BERSAMA UPMKB MENGANGKAT KEUNIKAN TRADISI MASYARAKAT IBAN

Bintulu - 10 April 2023, Kesedaran melestarikan keunikan tradisi dan budaya masyarakat di Sarawak menjadi agenda pelbagai pihak agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Seramai 36 orang pelajar kursus QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 1, Semester 2 2022/2023 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) diiringi oleh seorang pensyarah selaku fasilitator program telah menganjurkan program komuniti selama tiga hari dua malam bersama masyarakat di Rumah Panjang Kelambu Anak Uchong.

Program ini diadakan bertujuan mengeratkan silaturrahim warga UPMKB dengan masyarakat di rumah panjang sambil mengenali dengan lebih dekat tradisi dan budaya masyarakat Iban.

Pengarah Program, Muhammad Nur Syamim Bin Nirhan berkata Program seumpama ini memberi peluang kepada para pelajar khususnya yang bukan berasal dari Sarawak untuk merasai pengalaman dan suasana di rumah Panjang.

“Besar harapan saya agar program ini dapat memberi pengalaman berharga kepada kami di samping menjadi platform memperkasa hubungan baik antara UPMKB dengan masyarakat di rumah Panjang ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Tuai Rumah, Encik Kelambu Anak Uchong dan semua penduduk rumah Panjang kerana menerima dan memberi layanan yang sangat baik kepada kami,” kata Muhammad Nur Syamim.

Antara pengisian program ini merangkumi khidmat masyarakat, perkongsian teknik penanaman hidroponik, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan menghias buah, aktiviti kebudayaan, dan sukaneka.

Para pelajar tinggal bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang program ini berlangsung bagi merasai kehidupan di rumah Panjang dan mengenali budaya dan adat tradisi masyarakat Iban dan rumah Panjang.

Sepanjang berada di Rumah Panjang, para pelajar berpeluang belajardan bermain alat musik tradisional seperti tawak, engkerumung, bebendai, gong dan dapun. Kaum ibu di rumah Panjang turut menunjukkan cara membuat anyaman dan menyediakan kuih tradisional iaitu kuih kikin dan penyaram.

Para pelajar turut berpeluang mengenali dan menggayakan baju tradisional masyarakat Iban di samping mempelajari tarian ngajat. Penduduk di rumah Panjang dihiburkan dengan persembahan khas para pelajar pada Malam Aspirasi Begulai Kasih.

Menurut Pensyarah pengiring selaku fasilitator program, Dr. Karmilah Abdullah, program sebegini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menghargai keunikan dan kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Peluang keemasan ini amat bermakna kepada pelajar memandangkan ada pelajar yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Sarawak untuk menyambung pelajaran. Program Putra Bakti ini sekaligus dapat memupuk kemahiran-kemahiran insaniah dalam diri pelajar terutamanya melalui program-program komuniti anjuran universiti,” katanya.

Program Putra Bakti- Begulai Kasih bersama UPMKB diakhiri dengan acara gotong-royong membersihkan dan membaiki jalan masuk ke rumah Panjang.

Tarikh Input: 11/05/2023 | Kemaskini: 12/05/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEaOAS~