PUSPASARI WAHAP LAYAN PELAJAR SEPERTI ANAK SENDIRI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUSPASARI WAHAP LAYAN PELAJAR SEPERTI ANAK SENDIRI

PUSPASARI WAHAP LAYAN PELAJAR SEPERTI ANAK SENDIRI

BINTULU, 1 Nov – Bagai menatang minyak yang penuh. Begitulah layanan yang sentiasa diberikan oleh Puspasari Wahap, 49 buat para pelajar di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).
 
Sebagai satu-satunya Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) di Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMKB membuatkannya menjadi orang penting buat pelajar di sana bagi urusan hal ehwal akademik.
 
“Saya sentiasa melayan pelajar-pelajar di sini seperti anak sendiri kerana anak-anak saya juga berada di universiti. Kebiasaannya mereka akan berurusan bagi permohonan kemasukan ke UPMKB, tempahan bilik kuliah, pendaftaran kursus, tukar program, penangguhan bahkan urusan berhenti belajar.
 
“Ada pelajar yang sudah bergraduat bertandang ke Bintulu dan melawat saya di sini. Saya juga sentiasa mengalukan kehadiran mereka,” katanya. Terdapat juga pelajar apabila sudah tamat pengajian yang meninggalkannya dengan tangisan kerana merasa sangat sedih untuk berpisah dek kemesraan dan layanan baik yang diberikan.
 
Hubungannya bersama para pelajar tidak terhenti sekadar urusan akademik semata-mata namun terdapat ahli keluarga pelajar yang telah menjadi keluarga angkatnya. Berkongsi cabaran bekerja, beliau perlu mengatur jadual akademik dengan bijak kerana UPMKB mempunyai tiga peringkat pengajian yang berbeza iaitu Program Persediaan Diploma, Diploma dan Bacelor yang mempunyai kitaran berbeza tarikh serta tempoh pengajian.
 
“Walau bagaimanapun beratnya tugasan, saya akan laksanakan dengan sabar kerana ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas dan inilah pengorbanan saya untuk UPMKB,” katanya.
 
Secara peribadinya beliau melihat UPMKB telah mengorak langkah dan berkembang dengan cepat sejak pembukaan semula institusi ini pada 2001. “Pada awal pembukaan, hanya tiga program diploma ditawarkan. Kini institusi ini telah menawarkan 10 diploma, lima bacelor serta pelbagai program pengajian buat siswazah.
 
“UPM telah berjaya menawarkan tiga program pengajian baharu iaitu, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan untuk Eksekutif yang mula ditawarkan pada Semester Pertama Sesi Akademik 2023/2024. “Manakala Program Asas Diploma pula akan ditawarkan bermula Semester ke-2 Sesi Akademik 2023/2024,” katanya.
 
Menjadi harapannya agar UPM menjadi Universiti Penyelidikan terulung di Malaysia dan semakin mengukir nama di peringkat antarabangsa bahkan melahirkan graduan yang cemerlang. - UPM
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 02/11/2023 | Kemaskini: 02/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcOAO~