PROJECT PARK RANGKUL PIALA YB DATO MAJANG RENGGI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROJECT PARK RANGKUL PIALA YB DATO MAJANG RENGGI

PROJECT PARK RANGKUL PIALA YB DATO MAJANG RENGGI

Pasukan Project Park muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Piala YB Dato Majang Renggi 2023 setelah menewaskan Kenyana OU dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir di Padang B UPMKB di sini pada Ahad.

Project Park meledak jaringan awal melalui Mohd Haisal Yusuf pada minit ke-16 diikuti Badrul Hafiz Mohd Isa melengkapkan kemenangan pasukan dengan memperoleh jaringan kedua minit ke-20.

Dengan kemenangan itu, Project Park berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan pingat manakala naib juaranya Kenyana OU menerima hadiah wang tunai RM800 dan pingat.

Tempat ketiga bersama masing-masing disandang pasukan Putra Tiger UPMKB dan Bakoba FC yang menerima hadiah wang tunai RM300 dan pingat.

Hadiah kepada pasukan yang menang telah disampaikan Majang yang merupakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju.

Terdahulu, Majang turut menyempurnakan perasmian sepak mula perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran Kelab Bola Sepak Putra Tiger UPMKB dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) yang melibatkan penyertaan 14 pasukan sekitar Bintulu.

Pengarah kejohanan, Damie Ukar berkata, objektif kejohanan itu adalah untuk memperkasakan kemahiran insaniah pelajar di samping untuk memupuk integrasi kaum antara masyarakat berbilang kaum di Bintulu.

Hadir sama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UPMKB Dr Kamil Latif,Timbalan Presiden BiFA Awang Madihi Awang Yatim, Penasihat Kelab Bola Sepak Putra Tiger UPMKB Hakbaryzma Drahman dan Penolong Pendaftar UPMKB Mohd Amaludin Salleh.

 

 

Tarikh Input: 13/07/2023 | Kemaskini: 14/07/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcJAN~