PROGRAM PUTRA BAKTI: PUTRA ECO-IFTAR SARAT PENGISIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM PUTRA BAKTI: PUTRA ECO-IFTAR SARAT PENGISIAN

PROGRAM PUTRA BAKTI: PUTRA ECO-IFTAR SARAT PENGISIAN

BINTULU: Pelbagai aktiviti diadakan sempena Program Putra Bakti: Putra Eco-Iftar yang disertai para pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di Pusat Islam UPMKB pada 15 dan 16 Mac lepas.

Program sempena bulan Ramadan ini merupakan anjuran pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Bakti Siswa Kumpulan 3 Semester Kedua Sesi 2023/2024 UPMKB dengan kerjasama Bahagian Perpustakaaan UPMKB dan Jawatankuasa Pusat Islam UPMKB.

Pengarah programnya Muhammad Shahiddin Rosli berkata, program yang bertemakan alam sekitar itu memfokuskan aktiviti berkonsepkan kelestarian hijau dan membina kemahiran insaniah kepada para peserta. 

Katanya, peserta didedahkan agar lebih cakna dengan pengetahuan pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) serta memberi sumbangan dalam kesejahteraan alam sekitar melalui pelbagai kaedah. 

"Slot ceramah telah disampaikan oleh Siti Hajar Wahab daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Bintulu mengupas tentang kepentingan pengurusan barangan e-sisa dengan cekap dan kitar semula bahan yang masih boleh digunakan," ujarnya. 

Beliau berkata, pertandingan berkonsepkan mesra alam juga diketengahkan agar dapat memupuk semangat berpasukan dan meningkatkan kesedaran pelajar untuk mengamalkan amalan kitar semula.

Selain itu katanya, seramai 18 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan tulisan khat yang bertujuan mencungkil bakat kesenian dan memeriahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Tambahnya, Program Infaq Perdana juga diadakan bermula 16 Mac hingga 7 April tahun ini yang memberi peluang kepada warga kampus dan komuniti Bintulu untuk menginfakkan barangan atau pakaian bagi mereka yang memerlukan. 

Pada masa sama Ketua Bahagian Perpustakaan UPMKB Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan berkata, Infaq Perdana tersebut merupakan aktiviti tahunan perpustakaan ini menjelang Ramadan. 

"Tahun ini yang menariknya adalah program ini dianjurkan dengan kerjasama pelajar Bakti Siswa UPMKB dan Jawatankuasa Pusat Islam serta diadakan di ruang yang lebih besar dan terbuka kepada seluruh masyarakat sekitar Bintulu. 

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan akan diteruskan pada masa akan datang," ujarnya.

Tarikh Input: 21/03/2024 | Kemaskini: 21/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbXAh~