PROGRAM LARIAN SEMPENA PESTA KONVOKESYEN UPMKB 2023 PADA 29 OKTOBER | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM LARIAN SEMPENA PESTA KONVOKESYEN UPMKB 2023 PADA 29 OKTOBER

PROGRAM LARIAN SEMPENA PESTA KONVOKESYEN UPMKB 2023 PADA 29 OKTOBER

BINTULU: Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) akan menganjurkan program 'Juh Berekot Konvo' sempena Pesta Konvokesyen UPMKB 2023 pada 29 Oktober bermula jam 6 pagi.

Jurucakap UPMKB berkata, program itu diharap akan dapat dilaksanakan sebagai acara tahunan serta satu daripada aktiviti dalam pesta konvokesyen.
Katanya, acara atau pertandingan larian jarak jauh semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat umum pada kebelakangan ini. 

Justeru katanya, aktiviti seperti larian bagi kutipan dana sehingga ke acara maraton telah diadakan disertai ramai peserta tanpa mengira latar belakang. 
"Aktiviti kombinasi larian di trek dan juga larian jejak turut mendapat sambutan yang menggalakkan," tambah jurucakap terbabit hari ini.

Sementara itu, Penasihat program merangkap Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPMKB Profesor Madya Dr Amy Halimah berkata, larian julung kali diadakan itu terbuka untuk disertai warganegara dan bukan warganegara berumur 15 tahun ke atas.

Katanya, ia terhad kepada 500 orang dan larian sejauh 5.5 kilometer (km) itu mempertandingkan dua kategori iaitu lelaki dan perempuan yang akan dinobat sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga.

"Setiap peserta juga akan mendapat pingat berserta baju penamat kecuali bagi yang mendaftar selepas tarikh 23 September 2023," jelasnya.

Pengarah program Khalid Nawi berkata, idea penganjuran larian itu tercetus selepas menyedari sambutan menggalakkan dilihat dalam penganjuran beberapa larian sebelum ini.

"Kita menyokong aktiviti yang menggalakkan keseimbangan kesihatan mental dan fizikal untuk warga UPMKB khasnya serta masyarakat setempat amnya sekali gus membantu mempromosikan UPMKB melalui acara sukan larian," jelasnya.

Beliau berkata, mana-mana individu mahupun agensi yang berminat untuk menyumbang atau memberi tajaan amat dialu-alukan dan boleh menghubungi bahagian urus setia program Dr Carlina Freddie di talian 019-8340886 atau Josephine Jawai Makos (013-7073252). 

Sumbangan dalam bentuk tunai layak mendapat pengecualian cukai seperti yang tertakluk dalam Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. 

"Bagi tajaan yang bernilai RM2,000 dan ke atas, logo syarikat penaja akan dicetak pada baju program sebagai tanda penghargaan dan bagi tajaan bernilai RM5,000 dan ke atas logo syarikat akan dicetak pada baju dan sepanduk program 'Juh Berekot Konvo'," katanya.

 

Tarikh Input: 07/09/2023 | Kemaskini: 13/09/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbWAX~