PENUBUHAN KURSI PENYELIDIKAN TOK NAN RAIH PENCAPAIAN PENTING PELBAGAI ETNIK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PENUBUHAN KURSI PENYELIDIKAN TOK NAN RAIH PENCAPAIAN PENTING PELBAGAI ETNIK

PENUBUHAN KURSI PENYELIDIKAN TOK NAN RAIH PENCAPAIAN PENTING PELBAGAI ETNIK

BINTULU: Penubuhan Kursi Penyelidikan Tok Nan oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) meraih pencapaian penting dalam usaha melindungi dan memajukan hak kumpulan etnik berbeza sambil mempromosikan kepelbagaian etnik di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, biasiswa dan dana kursi itu digunakan menubuhkan Galeri Tok Nan adalah untuk mengumpul data mengenai kumpulan etnik berbeza di Sarawak. 

"Kini terbukti kerjasama kementerian dan UPM membawa kejayaan kepada kedua-dua pihak," katanya pada Persidangan Antarabangsa Ketiga Mengenai Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan 2023 (ICOSSH 2023) di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak serius dalam usaha mengumpul data mengenai kumpulan etnik minoriti berbeza di Sarawak.
 
"Antara pencapaian membanggakan ialah pertambahan bilangan etnik di Sarawak daripada 27 kepada 31 dan berkemungkinan besar jumlah itu meningkat memandangkan terdapat kumpulan etnik tidak mempunyai identiti sendiri. 

"Justeru, sekali lagi saya mengucapkan tahniah atas usaha penubuhan Kursi Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) atas pencapaian membanggakan ini.

"Saya amat berbesar hati dengan usaha UPM dan Kursi Tok Nan untuk mengangkat martabat UPMKB sebagai hab pengajian herba etnik di negeri ini," jelasnya. 

Beliau berkata, Sarawak mempunyai banyak sumber asli yang belum diterokai dan dengan kerjasama komuniti tempatan dan penyelidik membolehkan mereka memperolehi pengetahuan lebih mendalam tentang sumber digunakan untuk merawat penyakit. 

Jelasnya, ini adalah satu pengiktirafan sewajarnya dan beliau setuju UPMKB melalui Kursi Tok Nan perlu menubuhkan hab penyelidikan mengkaji herba tempatan yang digunakan kumpulan etnik berbeza di Sarawak.

"Tok Nan adalah nama tersohor di Sarawak dan jasa pengorbanan beliau kepada negeri akan dikenang selamanya. 

"Penubuhan kursi penyelidikannya sebagai penghormatan bermakna kementerian sekali gus bersetuju melanjutkan memorandum perjanjian (MoA) hingga 2027 dengan suntikan dana RM3 juta termasuk pembelian peralatan diperlukan untuk penyelidikan tumbuhan dan herba ubatan," katanya.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM Profesor Dr Ismi Arif Ismail berkata, Kursi Penyelidikan Tok Nan memberi inisiatif kepada pelajar Sarawak melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma hingga kedoktoran (PhD). 

Setakat ini, lapan pelajar menerima biasiswa itu meliputi tempoh 2022-2023 dan ini merupakan usaha berterusan untuk menjadikan UPMKB sebagai hab penyelidikan etnik terkemuka sekali gus mewujudkan Galeri Tok Nan di kampus ini.

Beliau yakin UPMKB mempelopori pengajian etnik di Sarawak, menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan ilmu mempamerkan kekayaan warisan budaya dan tradisinya.

Katanya, penemuan penyelidikan mengenal pasti Sarawak memiliki herba ubatan yang banyak digunakan lebih awal oleh masyarakat tempatan untuk rawatan penyakit. 

"Memandangkan kepakaran UPM dalam bioteknologi, inisiatif pembiayaan tambahan ini dapat mewujudkan UPMKB sebagai hab penyelidikan penting khusus untuk kajian herba asli Sarawak," katanya. 

Tarikh Input: 29/09/2023 | Kemaskini: 02/10/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbXAm~