PELAJAR UPMKB KONGSI ILMU BERTANI BERSAMA PENDUDUK RUMAH MEIKLE DING SUNGAI SEKUTAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PELAJAR UPMKB KONGSI ILMU BERTANI BERSAMA PENDUDUK RUMAH MEIKLE DING SUNGAI SEKUTAN

PELAJAR UPMKB KONGSI ILMU BERTANI BERSAMA PENDUDUK RUMAH MEIKLE DING SUNGAI SEKUTAN

BINTULU: Perkongsian ilmu berkaitan dengan kaedah penanaman jagung, sayur-sayuran, tanaman hiasan,  pengurusan dusun buah-buahan serta keselamatan operasi penggunaan racun perosak telah diadakan untuk penduduk luar bandar di Rumah Meikle Ding Sungai Sekutan, Sebauh di sini baru-baru ini.

Program Inovasi Pertanian Lestari di bawah kursus 'Service-Learning Malaysia University for Society' (SULAM) itu adalah anjuran Pelajar Kursus CES2241 (Pengembangan Pertanian) Diploma Pengurusan Perladangan dan Makanan Semester Kelima Sesi Akademik 2023/2024 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). 

SULAM merupakan pendekatan 'pembelajaran berasaskan perkhidmatan' yang menggabungkan tiga komponen penting iaitu akademik, penglibatan komuniti dan pengalaman praktikal pelajar.

Pelajar juga berkesempatan mengambil bahagian dalam aktiviti khidmat masyarakat dan persembahan kebudayaan bersama komuniti rumah panjang.

Pengarah program yang juga pelajarnya, Eleckster Dayat Jeki berkata, program ini memberikan pengaruh positf terhadap peningkatan kompetensi diri seperti keterampilan sosial.

Katanya, program ini mampu meningkatkan keterampilan komunikasi, peningkatan tanggungjawab sosial, memahami kepelbagaian agama dan budaya, peningkatan kecekapan diri dan motivasi diri pelajar. 

Tuai Rumah Meikle Ding berterima kasih kepada Jabatan Sains Tanaman UPMKB terutamanya kepada para pelajar UPMKB kerana telah memilih rumah panjang beliau untuk penganjuran program tersebut.

Katanya, beliau berbesar hati untuk menjadikan rumah panjangnya sebagai platform untuk program sama seumpamanya pada masa akan datang. 

Penasihat program merangkap pensyarah kursus terbabit, Dr Franklin Ragai Kundat berkata, pendekatan pengajaran berasaskan SULAM akan dapat memberi peluang kepada para pelajar mempelajari pelbagai perkara yang ada dan berlaku dalam komuniti. 

Katanya, ia boleh ditakrifkan sebagai pembelajaran melalui pengalaman serta mewujudkan pembelajaran secara dua hala di antara pelajar dan komuniti.

Beliau berbesar hati dengan program yang telah berlangsung dengan jayanya dan berharap dapat mengadakan program sama pada masa depan.

Tarikh Input: 08/04/2024 | Kemaskini: 08/04/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
WXFbHAA~