PELAJAR UPMKB JAYAKAN PROGRAM MENGENAI SUKAN PAINTBALL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PELAJAR UPMKB JAYAKAN PROGRAM MENGENAI SUKAN PAINTBALL

PELAJAR UPMKB JAYAKAN PROGRAM MENGENAI SUKAN PAINTBALL

BINTULU: Program 'Paintball Pursuit Expedition' yang menerapkan kemahiran, kerja berpasukan, komunikasi dan semangat kesukanan telah diadakan dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 2A Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada Sabtu lepas.

Program tersebut merupakan anjuran Pelajar QKS2127 Paintball (Kumpulan 1) Semester Kedua Sesi Akademik 2023/2024 UPMKB.

Pegawai Kanan Psikologi UPMKB Muhammad Abdul Rahim Habib berkata, sambutan yang diberikan terhadap program itu amat memberangsangkan daripada komuniti setempat dan para pelajar.

"Program ini bukan sahaja mengajar kemahiran dalam permainan sukan itu bahkan memupuk kerja berpasukan, komunikasi dan semangat kesukanan yang memberi manfaat dalam pelbagai aspek kehidupan," katanya merasmikan program tersebut.

Beliau berkata, program ini juga memberi pendedahan dan mendidik para pelajar dan komuniti tentang kepentingan bersukan dalam meningkatkan kemahiran insaniah. 

Sementara itu, pengarah programnya Rayner Junny berkata, program itu akan memberi kesedaran tentang kepelbagaian dan keunikan sukan paintball. 

Katanya, program itu menawarkan pakej baik kepada pemain baharu dengan tidak hanya memberi pengalaman bermakna bahkan merubah persepsi negatif tentang sukan paintball.

"Program pertama kali ini mengguna pembelajaran secara bersemuka, bengkel pengajaran tentang teknik-teknik dan peralatan asas dalam sukan paintball," katanya.

Justeru beliau berharap usaha itu dapat menjadikan sukan paintball lebih mudah diakses dan dapat dimainkan oleh lebih ramai orang.

Terdahulu, Presiden Kelab Paintball Kidurong Johnson Lee Khai Yeoh dan beberapa anggota Kelab Paintball Kidurong antara yang dijemput mengendalikan program tersebut.

Mereka berpengalaman luas dalam sukan paintball serta telah mengikuti pelbagai pertandingan paintball di peringkat negeri dan kebangsaan. 

Program ini turut menyediakan sesi praktikal iaitu 'shooting booth' untuk peserta yang ingin menggunakan peralatan lengkap paintball supaya mereka dapat menimba pengalaman baharu serta memupuk minat dalam sukan tersebut.

Tarikh Input: 13/03/2024 | Kemaskini: 13/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcHAi~