NAIB CANSELOR UPM MAHU PELAJAR BAHARU MENGHAYATI RUKUN NEGARA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » NAIB CANSELOR UPM MAHU PELAJAR BAHARU MENGHAYATI RUKUN NEGARA

NAIB CANSELOR UPM MAHU PELAJAR BAHARU MENGHAYATI RUKUN NEGARA

Naib canselor UPM berharap pelajar-pelajar baharu dapat terus menghayati prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan dengan berhemah terutama ketika berkomunikasi dalam media sosial dengan memberi komen-komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat-ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki kerana boleh merosakkan pemikiran dan adab kita sebagai seorang manusia yang berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya.
 
Ucapan Naib Canselor, YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman itu telah disampaikan oleh Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) sempena Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi Akademik 2023/2024 ambilan Diploma dan Persediaan Diploma. Majlis ini dihadiri oleh 198 orang pelajar baharu dengan disaksikan oleh Jawatankuasa Universiti dan para pensyarah UPMKB.
 
Mohd Roslan juga berpesan agar pelajar baharu menyerlahkan bakat dan potensi diri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum seperti sukan, perdebatan, kebudayaan dan lain-lain melalui kelab dan persatuan serta subjek yang ditawarkan universiti. Universiti akan menjunjung usaha ke arah pemerkasaan mahasiswa dengan memberikan mereka lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan Amanah dalam perlaksanaan aktiviti-aktiviti berpersatuan. Ini seiring dengan Azam ke-11, iaitu Pemerkasaan Mahasiswa dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi.
 
Beliau juga mengingatkan pelajar baharu juga untuk memperkasakan penguasaan ilmu Bahasa Inggeris bagi menjadikan graduan UPM menjadi pekerja berstatus global yang menjadi idaman majikan syarikat-syarikat multinasional dan antarabangsa. Gunakan pembelajaran di universiti untuk mengasah penguasaan Bahasa Inggeris melalui penulisan dan komunikasi.
 
Turut hadir dalam Majlis ini adalah YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan YBhg. Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Pengarah Kampus UPMKB, YBhg. Prof. Shahrul Razid Sarbini, barisan pegawai kanan universiti dan pensyarah.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 01/08/2023 | Kemaskini: 02/08/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbWA6~