MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 SIDANG 1 RAIKAN 487 GRADUAN SABTU INI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 SIDANG 1 RAIKAN 487 GRADUAN SABTU INI

MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 SIDANG 1 RAIKAN 487 GRADUAN SABTU INI

BINTULU: Seramai 487 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-47 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada Sabtu ini di Dewan Sri Kenyalang UPMKB.

Pada sidang itu, Tuanku Canselor UPM Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan ijazah doktor falsafah (Ph.D) kepada seramai sembilan orang, ijazah sarjana (master) seramai 12 orang, ijazah sarjana muda 84 orang dan diploma 382 orang, dalam pelbagai program pengajian.

Kenyataan media UPMKB di sini berkata, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan hadiah kepada semua pemenang hadiah peringkat universiti iaitu Hadiah Live Animals Medical Centre (Graduan Terbaik Bacelor), tajaan Live Animals Medical Centre kepada Nurul Syahmah Matsah daripada program Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan.

"Diikuti Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi (Graduan Terbaik Diploma) iaitu tajaan Yvonne Sing Sai Hoi kepada Tai Yu Tian daripada program Diploma Perikanan," jelasnya. 

Penyanyi Iban Sarawak, Alexander Chelum atau Alexander Peter Chelum antara graduan Ph.D dalam penyelidikan mengenai 'Simbol dan makna ritual Nyangahant dalam budaya masyarakat Salako di Kampung Pueh, Lundu Sarawak, Malaysia' turut bergraduat pada sesi konvokesyen kali ini. 

Majlis konvokesyen ini katanya, meraikan para graduan yang juga menjadi agenda penting dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu menyokong hasrat melalui Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

Dalam pada itu katanya, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM Ke-47 (Sidang 1) UPMKB sudah bermula semalam jam 8 pagi hingga 11 malam, setiap hari hingga Sabtu ini di Tapak Ekspo Dewan Sri Kenyalang UPMKB.

"Pelbagai aktiviti dan gerai jualan sempena Pesta Konvo diadakan ini menawarkan jualan anak pokok iaitu anak pokok durian hutan nyekak dan isu yang hanya terdapat di Sarawak," katanya.

Selain itu katanya, produk makanan, minuman, cenderamata dan bunga konvokesyen, hasil pertanian Pusat Pertanian Putra (PPP) UPMKB turut ditawarkan pada harga berpatutan.

"Pertandingan (e-sukan, ragbi 7 sebelah, karaoke), memanah, 'flying fox', kayak, malam kebudayaan konvo dan persembahan artis jemputan juga diadakan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga berpeluang menyertai aktiviti Putra Bakti @Animal Exhibition (AnimEX 5.0) bertujuan memupuk kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan kemahiran khas penjagaan haiwan peliharaan, reptilia dan haiwan akuatik serta mempamerkan spesies ternakan di UPMKB.

UPMKB merupakan kampus cawangan UPM kini mempunyai dua fakulti iaitu Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan dan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains. 

Kampus hijau ini berkeluasan 714.178 hektar mampu menampung 2,800 pelajar pada satu masa serta menawarkan program pengajian peringkat PhD, sarjana, sarjana muda, diploma dan persediaan diploma.
 

 

Tarikh Input: 06/11/2023 | Kemaskini: 06/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdBAh~