LAKSANA INTERVENSI DALAM KOMUNITI BENDUNG ISU SOSIAL DI BELAGA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » LAKSANA INTERVENSI DALAM KOMUNITI BENDUNG ISU SOSIAL DI BELAGA

LAKSANA INTERVENSI DALAM KOMUNITI BENDUNG ISU SOSIAL DI BELAGA

SUNGAI ASAP, 25 Januari – Pelaksanaan intervensi dalam komuniti merupakan inisiatif terbaik bagi membendung isu sosial khususnya penagihan dadah dan substans di kawasan luar bandar.
 
Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Dr. Yasmin Yaccob berkata, program intervensi anjuran Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti dengan kerjasama pihaknya serta Pejabat Residen Bahagian Kapit dan Pejabat Daerah Belaga dilihat dapat membantu memperkasa pemimpin akar umbi dengan pengetahuan dan kemahiran bagi membantu komuniti dalam menangani isu sosial yang dihadapi.
 
Ujarnya, sekiranya maklumat dan perkongsian ilmu tidak disampaikan secara terus kepada masyarakat, isu sosial yang berlaku dalam komuniti tidak dapat dibendung malah berkemungkinan akan lebih parah disebabkan pemimpin akar umbi dan komuniti tidak mengetahui kaedah dan cara mengatasi masalah sosial yang dihadapi daripada berlanjutan.
 
Dr. Yasmin turut menjelaskan program ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada 40 mahasiswa Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan (Kepujian) Semester 1 & 3 Sesi 2023/2024 Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains di UPM Kampus Bintulu untuk memperluaskan pengalaman pembelajaran dalam situasi sebenar masyarakat.
 
Malah katanya, ia juga merupakan program jaringan komuniti di bawah komponen CARE (Community Resilience Experential Learning) melalui projek lapangan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang berperanan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari.
 
Beliau berkata demikian pada Program Pemerkasaan Komuniti 2.0 Di Sungai Asap, Belaga: Intervensi Bersepadu Bagi Pembangunan Komuniti Terjebak Isu Sosial yang telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, YB Encik Kennedy Chukpai Ugon di Uma Baha Sg. Asap, Belaga Ahad lalu.
 
Sementara itu, YB Encik Kennedy Chukpai Ugon berkata, program ini amat bertepatan dengan hasrat beliau untuk memastikan komuniti di kawasan DUN berkenaan bebas daripada masalah dadah. Tambah beliau, Program Intervensi Bersepadu ini telah memberi fokus kepada Isu Dadah dan Substans (OBID) di bawah One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Bintulu.
 
Jelas beliau, dengan wujudnya kerjasama yang melibatkan OSC MIDS ini, ia dapat menyokong usaha-usaha dalam melaksanakan program dan aktiviti pencegahan dan kesedaran kepada komuniti di Daerah Belaga, Sarawak.
 
Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti perkongsian maklumat, kaunter khidmat nasihat dan rujukan intervensi, forum interaktif dan perbincangan kelompok, ziarah keluarga terjebak substans, aktiviti sukarela dan latihan kemahiran sosial, aktiviti solidariti, sukan rakyat dan kebudayaan refleksi serta banyak lagi.
 
Selain UPM Kampus Bintulu, program ini turut melibatkan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (KPWK), Pejabat Residen Bahagian Kapit, OSC bagi MIDS Daerah Belaga (Pejabat Daerah Belaga dan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), PDRM Sarawak, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak, Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak, Pejabat Kesihatan Bahagian (One Stop Centre for Addiction (OSCA), Klinik Kesihatan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC).
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 26/01/2024 | Kemaskini: 26/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbVAc~