KELAB MSAE-SC UPMKB SARAWAK CEMERLANG DI PENTAS ARC2023 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KELAB MSAE-SC UPMKB SARAWAK CEMERLANG DI PENTAS ARC2023

KELAB MSAE-SC UPMKB SARAWAK CEMERLANG DI PENTAS ARC2023

BINTULU: Kelab MSAE-SC Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak menyerlah apabila enam pelajar Diploma Kejuruteraan Teknologi Pertaniannya berjaya meraih masing-masing satu pingat emas dan perak dalam pertandingan inovasi pertanian di Fakulti Kejuruteraan UPM Serdang pada 20 hingga 26 Ogos 2023 lalu. 

Pertandingan tersebut bersempena program "Southeast Asian Agricultural and Food Engineering Student Chapter Annual Regional Convention (ARC2023). Enam pelajar tersebut terdiri Za'im Zuhairrudin Akhmal Zailani, Chiah Yi Hua, Muhammad Irfan Isyraf Rosdi, Ainnul Mardiah Shafiee, Cyril Oneil Micheal Musa Onell dan Keagan Chandi.  Mereka berada di bawah bimbingan Pensyarah Jabatan Sains dan Teknologi UPMKB Dr Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah, Dr Nozieana Khairuddin dan Dr Nor Hanifawati Inai.

Jurucakap UPMKB berkata, pertandingan tersebut turut disertai para pelajar dari Filipina (Caraga State University, Mindoro State University), Thailand (Suranee University of Technology), Indonesia (Universitas Gadjah Mada, Universitas Andalas, Universitas Brawijaya) dan beberapa unversiti dan institusi pengajian tinggi tempatan (UPM Serdang dan UPMKB, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sabah, Institut Kemahiran Tinggi Perda, Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Jeli).

"Program selama enam hari tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar berlatar belakang jurusan kejuruteraan pertanian dari negara-negara ASEAN bertukar pengalaman dan pendapat dalam bidang terbabit," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, program ini memberi peluang kepada para pelajar khususnya dari luar negara untuk menerokai teknologi pertanian di Malaysia.    Beliau berkata, kepelbagaian penyertaan ini diharap dapat membuka ruang bagi para peserta untuk menimba pengalaman baharu dan menjalin hubungan baik sesama bakal jurutera pertanian di negara ASEAN.
     
Ujarnya, pelbagai aktiviti telah diadakan pihak penganjur ARC2023 ini antaranya ARC Amazing Race yang menyajikan pelbagai cabaran menarik dan mencabar harus diselesaikan oleh peserta program.  "Cabaran ini dilaksanakan untuk mengukur tahap kerjasama antara ahli kumpulan dan kemahiran berfikir aras tinggi dalam menyelesaikan cabaran yang diberikan," jelasnya. 

Selain itu katanya, aktiviti yang menjadi tarikan adalah Kuiz Kejuruteraan Pertanian yang menguji tahap pengetahuan peserta mengenai bidang teknologi dan kejuruteraan pertanian. Tambahnya, pertandingan lain ialah Pengucapan Awam Multimedia bertemakan 'Moving Beyond Silos Towards Transdisciplinary in Sustainable Food and Agriculture'. 

"Tema tersebut telah dipilih khas oleh pihak penganjur bagi mengetengahkan peranan pelbagai pihak untuk memastikan pembangunan pertanian yang mampan demi kelangsungan kehidupan," katanya.  Selain itu katanya, diadakan aktiviti malam kebudayaan yang menjadi ruang bagi pelajar pelbagai negara bertukar budaya dengan majlis dimulakan persembahan tarian ngajat daripada peserta UPMKB dan diakhiri dengan tarian sumazau oleh wakil peserta Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

"Program menarik dan mengujakan peserta ialah lawatan teknikal dan kebudayaan di sekitar kawasan Selangor hingga ke Putrajaya. "Lokasi-lokasi menjadi pilihan penganjur ialah Ladang Agro Voltaic UPM, Muzium Warisan Melayu, Masjid Putra dan Secret Garden di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata, aktiviti berakhir dengan para pelajar luar kampus, peserta dan tenaga pengajar saling berkongsi projek inovasi bersama orang awam di pekarangan Fakulti Kejuruteraan UPM Serdang.

 

Tarikh Input: 07/09/2023 | Kemaskini: 13/09/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcAAo~