KEHILANGAN AYAH KETIKA PEPERIKSAAN AKHIR, FATIHAH BANGKIT INGIN TERUS CEMERLANG DALAM PENDIDIKAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KEHILANGAN AYAH KETIKA PEPERIKSAAN AKHIR, FATIHAH BANGKIT INGIN TERUS CEMERLANG DALAM PENDIDIKAN

KEHILANGAN AYAH KETIKA PEPERIKSAAN AKHIR, FATIHAH BANGKIT INGIN TERUS CEMERLANG DALAM PENDIDIKAN

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari


BINTULU, 4 Nov – Pemergian ayahanda tercinta sehari sebelum menduduki peperiksaan akhir ketika semester keempat tahun kedua pengajian merupakan titik terendah buat graduan Diploma Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Nur Fatihah Hanani Johari, 21.

Beliau yang sedang menyambung pengajian Diploma Perniagaantani pada ketika itu, merasa hilang arah dan buntu kerana tidak melakukan sebarang persiapan untuk pulang ke Hulu Selangor.

“Khabar berita pemergian ayah begitu mengejutkan dan pada ketika itu merupakan 10 malam terakhir bulan Ramadan 2022. Tiada persiapan untuk balik ke Semenanjung kerana sedang membuat persiapan untuk peperiksaan akhir.

“Ketika ayah saya meninggal dunia, saya akui keputusan peperiksaan pada ketika itu agak merundum. Namun saya bersyukur kerana sistem sokongan saya cukup kuat dan bertekad ingin membuktikan bahawa saya mampu menghasilkan kejayaan,” katanya.

Tekad Fatihah untuk membanggakan keluarga dalam pelajaran khasnya buat arwah ayahnya dibuktikan dengan menyambung pengajian Bacelor setelah menerima skrol Diploma hari ini dalam Majlis Konvokesyen ke-47 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang UPMKB yang ditemani oleh ibu bapa saudaranya. 

“Saya tidak akan terus berhenti belajar hari ini demi penghargaan buat arwah ayah. Kini, saya sedang menyambung pengajian Bacelor Pentadbiran Perniagaan di UPM Serdang.

“Terima kasih buat pensyarah UPMKB yang membantu saya menduduki peperiksaan gantian ketika ayah meninggal tempoh hari termasuklah rakan-rakan yang membantu membelikan tiket pada 1.30 pagi dari Sibu ke Kuala Lumpur.

“Pertolongan daripada mereka membolehkan saya memberikan ciuman terakhir dan mengiringi perjalanan terakhir ayah. Saya sangat merindui ayah saya Johari Yob,” katanya.

Pesanannya buat mahasiswa yang baru menyambung pengajian di menara gading agar terus berjuang untuk melakar kejayaan walaupun diuji kerana kesedihan yang hadir adalah  penguat untuk mencapai kejayaan masa hadapan. -UPM 

 

Tarikh Input: 06/11/2023 | Kemaskini: 06/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcBA6~