KARNIVAL INTELEK GALAK MASYARAKAT MINAT BIDANG BAHASA, KESUSASTERAAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KARNIVAL INTELEK GALAK MASYARAKAT MINAT BIDANG BAHASA, KESUSASTERAAN

KARNIVAL INTELEK GALAK MASYARAKAT MINAT BIDANG BAHASA, KESUSASTERAAN

BINTULU: Karnival intelek dilihat sebagai landasan terbaik untuk membolehkan masyarakat khususnya golongan muda meminati ilmu berkaitan bahasa serta kesusasteraan, kata Setiausaha Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wan Ibrahim Wan Ali.

Menurutnya, melalui penganjuran pelbagai program berkisar intelek, karnival dapat memberi manfaat kepada masyarakat di sini khususnya dalam membina keintelektualan dengan menarik minat masyarakat melalui kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

“Pada masa sama, ia menggalakkan generasi muda khususnya pelajar meminati bidang kesusasteraan yang sememangnya wajar dipelajari kerana merupakan khazanah bangsa tidak ternilai harganya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Penangguhan Karnival Intelek 2023, Pelancaran Buku dan Penyampaian Hadiah Pertandingan sempena Karnival Intelek 2023 di Auditorium Perpustakaan BDA di sini, semalam.

Wan Ibrahim berkata, karnival intelek tahun ini menyaksikan sebanyak 13 program dilaksanakan bermula 12 hingga 17 Jun seperti Wacana 45

Tahun BDA, Bimbingan Penulisan Kreatif, Taklimat Buku dan Majalah, Pertandingan Teka Silang Kata, Deklamasi Sajak Sekolah Menengah dan Pertandingan Syair Sekolah Menengah.

Turut diadakan Pertandingan Penglipur Lara Moden, Pertandingan Pantas Jawi, Bengkel Pemerolehan Manuskrip, Bicara Buku, Program Santai Bersama Penulis Tempatan dan Pameran serta Jualan Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Saya percaya pengunjung yang hadir pasti bersemangat terutamanya guru-guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam memastikan anak didik atau anak masing-masing menyertai pertandingan dianjurkan,” jelasnya.

Justeru katanya, penerapan nilai-nilai murni seperti sikap berdaya saing, bekerjasama dan daya usaha dalam kalangan pelajar dapat membantu merealisasikan usaha Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030.

“Ia juga selari dengan tema sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka tahun ini iaitu Sarawak Maju dan Makmur yang mana generasi muda memikul tanggungjawab besar menjayakan aspirasi ini,” katanya.

Hadir sama Pengarah DBP Sarawak Abang Haliman Abang Julai dan Pengarah Institut Ekosains Borneo Universiti Putra Malaysia mewakili Pengarah UPM Kampus Bintulu Sarawak Syeed Saiful Azry Osman Al Edrus.

 

Tarikh Input: 20/06/2023 | Kemaskini: 30/06/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbXA4~