JUALAN BUT KERETA DI UPMKB BANTU PENIAGA PASARKAN PRODUK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » JUALAN BUT KERETA DI UPMKB BANTU PENIAGA PASARKAN PRODUK

JUALAN BUT KERETA DI UPMKB BANTU PENIAGA PASARKAN PRODUK

BINTULU: Jualan but kereta yang diadakan oleh para pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan penjaja di sekitar Bintulu membantu peniaga memasarkan produk dengan lebih berkesan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Seramai 35 mahasiswa Kursus Usahawan Siswa (QKT2101) terlibat dalam Program Putra Bakti Jualan Bonet Kereta itu yang disertai tujuh penjaja di Bintulu pada program di Lot Parkir Dewan Sri Kenyalang UPMKB di sini, baru-baru ini.

Mahasiswanya Hafidz Danial berkata, inisiatif menjalankan aktiviti jual beli melalui kaedah itu lebih berkesan meskipun dalam tempoh jangka pendek.

"Ini sebahagian usaha mahasiswa memberi peluang kepada penjaja sekitar Bintulu memasarkan produk, membina serta mengembang jaringan perniagaan dengan pengunjung yang juga pelanggan di kampus tersebut," katanya.

Sementara itu, mahasiswa dari kursus sama, Arif Haikal berkata berniaga di but kereta semakin mendapat tempat dalam kalangan belia mahupun peniaga-peniaga kecil.

"Ini terbukti dengan sambutan meriah pelajar dan pengunjung luar pada aktiviti jualan tersebut," katanya sambil menambah program itu mendapat kerjasama Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak (PPPS) Unit Assyakirin Bintulu.

Menurutnya, antara aktiviti diadakan sepanjang program itu ialah pertandingan mewarna bertemakan warna-warni kehidupan, layang-layang tercantik, cabutan bertuah, karaoke, merentas desa dalam kampus dan sebagainya terbuka disertai semua.

"Pada hari pertama program ini ramai pengunjung luar datang ke tapak jualan untuk membeli makanan," katanya. 

Meskipun keadaan cuaca hujan, ia tidak menghalang penjaja dan pengunjung menjayakan aktiviti jual beli terutamanya kehadiran pelajar sekolah, guru pengiring dan ibu bapa.

Antara makanan dijual penjaja agak unik dan jarang ditemui dalam kampus serta menjadi tumpuan ialah 'sushi station' serta jualan buah-buahan potong dengan pelbagai serbuk perasa.

Penutupan program itu disempurnakan oleh Pengerusi PPPS Unit Assyakirin Zulkipli Dahlan yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam beberapa acara dipertandingkan.

 

Tarikh Input: 26/07/2023 | Kemaskini: 01/08/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAE~