INISIATIF SARAWAK TANAM PADI HIBRID PENUHI 80 PERATUS KEPERLUAN KONSUMSI RAKYAT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » INISIATIF SARAWAK TANAM PADI HIBRID PENUHI 80 PERATUS KEPERLUAN KONSUMSI RAKYAT

INISIATIF SARAWAK TANAM PADI HIBRID PENUHI 80 PERATUS KEPERLUAN KONSUMSI RAKYAT

GEDONG: Inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memulakan penanaman padi hibrid diyakini mampu memenuhi keperluan konsumsi rakyat negeri ini sehingga 80 peratus.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, statistik tersebut mampu dicapai kerana Sarawak akan menggunakan benih padi hibrid yang mampu mengeluarkan jumlah beras yang lebih banyak berbanding spesies padi yang ditanam sekarang.

“Spesies padi hibrid yang sedang dikaji oleh pihak Universiti Putra Malaysia dan ‘Global Farm Biotech’ mampu mengeluarkan sebanyak 200,000 tan beras per 10,000 hektar dalam tempoh setahun, maka kita dapat memenuhi keperluan konsumsi rakyat Sarawak sebanyak 80 peratus,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mendengar taklimat daripada pihak Universiti Putra Malaysia Bintulu dan ‘Global Farm Biotech’ sempena lawatan kerja beliau ke Projek Penanaman Padi di Kampung Lubok Punggor pada Jumaat.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, penanaman padi di Sarawak sebelum ini hanya mampu mencapai 34 peratus sahaja keperluan konsumsi rakyat dan selebihnya adalah beras import.

Justeru jelas beliau, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import dan mengawal harga beras di Sarawak, kerajaan akan menumpukan perhatian terhadap kajian yang dilakukan oleh kedua-dua institusi tersebut.

“Kalau kajian ini berjaya, kita akan mempunyai bekalan beras yang mencukupi di samping mengawal harga beras yang berpatutan untuk semua rakyat di negeri ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau tidak menafikan bahawa dengan adanya benih hibrid tersebut, Sarawak mampu untuk menjadi negeri pengeksport beras pada masa hadapan.

“Kalau kita tambah kawasan tanah kita untuk dijadikan jelapang padi, mungkin kita juga boleh menjadi pengeksport beras pada masa hadapan,” katanya.

Sehingga kini, terdapat empat kawasan yang telah dikenalpasti untuk dijadikan jelapang padi iaitu Tanjung Bijat Sri Aman, kawasan Spaoh di Betong, Tanjung Purun di Lundu dan Kampung  Lubok Punggor di Gedong.

Percubaan perintis penanaman padi spesies hibrid 538 dan 238 di Kampung Lubok Punggor telah menunjukkan perkembangan yang positif yang mana hasilnya telah dituai dan diberikan kepada Premier Sarawak sebagai cenderahati.

Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, wakil khas ADUN Gedong Datuk Mohamad Naroden Majais, Residen Bahagian Kota Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

 

Tarikh Input: 09/10/2023 | Kemaskini: 09/10/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcCAq~