IEB UPMKB BAKAL MENJADI PEMANGKIN PENYELIDIKAN PRODUK HILIRAN BERNILAI TAMBAH BERASASKAN BIOJISIM KELAPA SAWIT BAGI INDUSTRI KELAPA SAWIT DI SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » IEB UPMKB BAKAL MENJADI PEMANGKIN PENYELIDIKAN PRODUK HILIRAN BERNILAI TAMBAH BERASASKAN BIOJISIM KELAPA SAWIT BAGI INDUSTRI KELAPA SAWIT DI SARAWAK

IEB UPMKB BAKAL MENJADI PEMANGKIN PENYELIDIKAN PRODUK HILIRAN BERNILAI TAMBAH BERASASKAN BIOJISIM KELAPA SAWIT BAGI INDUSTRI KELAPA SAWIT DI SARAWAK

Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMtec) 2023 anjuran Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) telah diadakan pada 8 - 9 Ogos 2023 bertempat di Hotel Imperial, Miri, Sarawak. POMtec 2023 bertemakan “Toward Sustainable & Value-Added Business Operation” dianjurkan bagi mengetengahkan keberkesanan teknologi terkini yang menggalakkan kemampanan seperti proses mesra alam, pengurangan sisa serta kecekapan tenaga dalam operasi pengilangan minyak sawit. Institut EkoSains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah dijemput dan disediakan ruang pameran untuk bersama-sama mempamerkan hasil inovasi penyelidikan dan penerbitan sepanjang program POMtec berlangsung.

Majlis Perasmian POMtec 2023 telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Perladangan dan Komoditi. Beliau juga telah melawat ruang pameran IEB, UPMKB bagi melihat produk inovasi penyelidikan dan penerbitan yang telah dihasilkan oleh UPM yang berkaitan dengan kelapa sawit dan biojisimnya. Semasa lawatan tersebut Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Yusof juga di iringi oleh Yang Berhormat Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Sarawak (M-FICORD), En Eric Kiu Kwong Seng, Pengerusi Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) serta dif-dif kehormat yang lain. Taklimat semasa lawatan tersebut telah disampaikan oleh Dr. Syeed SaifulAzry Osman Al Edrus (Pengarah IEB, UPMKB). Beliau berminat terhadap hasil penyelidikan dan penerbitan yang ditunjukkan dan turut mencadangkan pihak IEB, UPMKB untuk berbincang lebih lanjut bersama M-FICORD bagi melihat potensi kolaborasi yang boleh diadakan bagi membangunkan produk hiliran berasaskan biojisim kelapa sawit di Sarawak.

Menerusi program yang dianjurkan, Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut menggesa pihak terlibat untuk terus bereksperimen dengan prosedur dan strategi inovatif untuk menambah nilai kepada rantaian pengeluaran minyak sawit negara.

Turut melawat ruang pameran IEB, UPMKB adalah YB Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam, Sarawak. Dalam majlis penutupan, pihak IEB, UPMKB sempat bertukar pandangan bersama dengan YB Tuan Maclaine @ Martin Ben, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Sarawak (M-FICORD).

Seramai dua orang penyelidik dari UPMKB iaitu Prof. Dr. Patricia King Jie Hung (Timbalan Pengarah IEB, UPMKB) dan dan Dr. Sivasangar A/L Seenivasagam (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains dan Teknologi, UPMKB) telah dijemput untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam POMtec 2023. Turut serta dalam program adalah Dr. Latifah Binti Omar (Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, IEB, UPMKB) bersama Dr. Mugunthan A/L Perumal (Pegawai Penyelidik, IEB, UPMKB).

Sempena pameran tersebut, IEB, UPMKB turut mempromosikan program pengajian yang ditawarkan di UPMKB seperti Program Persediaan Diploma, Diploma, Bacelor, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah dikongsikan kepada para pelajar serta peserta POMtec yang hadir.

Turut hadir bersama rakan-rakan dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pemain industri bagi bersama-sama memeriahkan lagi program yang dijalankan.

 

 

Tarikh Input: 17/08/2023 | Kemaskini: 18/08/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcEAN~