DR. KEEREN BETAH DI UPMKB, ‘JATUH CINTA’ KEUNIKAN SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » DR. KEEREN BETAH DI UPMKB, ‘JATUH CINTA’ KEUNIKAN SARAWAK

DR. KEEREN BETAH DI UPMKB, ‘JATUH CINTA’ KEUNIKAN SARAWAK

BINTULU, 3 Nov - Memperoleh tawaran kerjaya di Malaysia Timur adakalanya tidak semua individu bersedia untuk berada jauh dari rumah serta mempunyai persepsi akan ditempatkan di kawasan pedalaman dan mentaliti tidak bersedia untuk menghadapi perubahan baharu.

Namun bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr. Keeren Sundara Rajoo kerana telah ‘jatuh cinta’ dengan keunikan kebudayaan di Sarawak beliau betah menerima tawaran kerjaya di UPMKB.

“Sebelum ini saya telah memohon kerjaya sebagai pensyarah di beberapa universiti dan apabila saya mendapat tawaran di sini saya berpandangan ia peluang terbaik saya dan bersesuaian dengan bidang saya iaitu perhutanan,” katanya.

Bertanya bagaimana beliau begitu tertarik dengan budaya Sarawak, Dr. Keeren Sundra berkata ianya bermula kerana rakan-rakannya dahulu di kampus adalah dari Sarawak serta beliau turut mempelajari budaya Sarawak melalui kakak iparnya, Shusan Petrus yang berbangsa Kayan.

“Masyarakat di Sarawak juga mempunyai sikap keterbukaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Sarawak malah mereka turut menerima bangsa lain dan ini membuatkan saya tidak canggung untuk berkhidmat di UPMKB,” katanya.

Terkini beliau sedang mempelajari Bahasa Iban. Selain dari sikap mesra masyarakat Sarawak, pelajar di UPMKB turut menjadikan beliau bersemangat untuk kekal berada di UPMKB.

“Pelajar saya di Fakulti Sains, Pertanian dan Perhutanan UPMKB untuk saya mereka adalah yang terbaik. Sehingga kini perhubungan kami begitu utuh dan persahabatan ini berkekalan walaupun mereka telah bergraduat,” katanya.

Dr. Keeren Sundara, 35, yang berasal dari Perak turut menjalankan kajian etnobotani, ianya bukan sahaja mengkaji perubatan herba yang digunakan untuk jenis penyakit oleh suku kaum di Sarawak malah ianya sebenarnya dapat mengenal pasti cara penggunaannya serta sejarah dengan konteks budaya yang membolehkan mereka mengaplikasikan perubatan tersebut.

“Saya bersama pelajar seliaan saya telah menjalankan kajian ini di Kampung Melanau Igan, Mukah, Sarawak bagi mendapatkan informasi bagaimana masyarakat ini menggunakan herba tersebut dalam perubatan dan ini adalah unik untuk dikaji dan didokumentasikan  untuk dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Beliau juga menggalakkan belia untuk berkecimpung dalam bidang perhutanan kerana bukan sahaja ianya menarik, malah mempunyai potensi dalam pelbagai sektor industri antaranya agrotourism dan mempunyai jaminan kerjaya masa depan.

“Saya berpendapat golongan belia sebenarnya kurang mendapat pendedahan mengenai bidang perhutanan yang sebenarnya bukan ianya belajar untuk mengenali pokok hutan malah mengenai sains tanah, sains air, entomologi hutan, sukan rekreasi serta hidupan liar,” katanya

Tarikh Input: 06/11/2023 | Kemaskini: 06/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcGAD~