DEDAH KESEDARAN MELINDUNGI HAIWAN DARIPADA KEZALIMAN ANJURAN THE BAKSIS DAY (PUTRA BAKTI@ANIMEX 5.0) | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » DEDAH KESEDARAN MELINDUNGI HAIWAN DARIPADA KEZALIMAN ANJURAN THE BAKSIS DAY (PUTRA BAKTI@ANIMEX 5.0)

DEDAH KESEDARAN MELINDUNGI HAIWAN DARIPADA KEZALIMAN ANJURAN THE BAKSIS DAY (PUTRA BAKTI@ANIMEX 5.0)

BINTULU: Komuniti setempat terutama kanak - kanak perlu diperkenal serta didedahkan spesies haiwan yang ada supaya mereka mengetahui, sekali gus melindungi haiwan-haiwan tersebut daripada menjadi mangsa kezaliman. Perkara itu ditekankan melalui penganjuran Ekspo Pertanian sempena Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di pekarangan Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu (UPMKB) baru-baru ini.
 
Program ‘The BAKSIS Day’ Putra Bakti @AnimEX 5.0 pada 4 dan 5 November itu merupakan anjuran Pelajar QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 1 dan 2 Semester Pertama Sesi Akademik 2023/2024 yang menekan kesedaran mengenai kepentingan melindungi dan menyayangi haiwan melalui pendidikan, penguatkuasaan undang-undang serta cara penjagaan betul.
 
Fasilitator programnya Mohammad Saufi Mohammad Ramli berkata, program seumpamanya bukan sahaja membabitkan pemindahan ilmu antara pelajar dengan komuniti luar bahkan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan haiwan dan sebagainya.
 
Katanya, antara penerapan kesedaran itu adalah melalui ceramah mengupas tajuk ‘Penderaan haiwan’ oleh Dr Kamil Latif, ‘Kesan haiwan kesayangan dan bagaimana penjagaan haiwan boleh menjejaskan kesihatan mental secara aktif’ oleh Dr Chan Siaw Leng, ‘Berhati-hati dengan rabies’ oleh Dr Siti Nurhani Arib dan ‘Kebajikan haiwan’ oleh Dr Muhammad Hakim Mohd Ali Hanafiah.
 
“Program lain yang turut diadakan ialah melukis muka dan permainan menyeronokkan dalam bentuk ilmiah untuk pengunjung,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, acara kemuncak dalam program itu ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang mendapat sambutan menggalakkan dalam pemindahan ilmu pengetahuan, pembelajaran dan ikatan kekeluargaan.
 
Sementara itu fasilitator program Roslan Ismail berkata, haiwan-haiwan ternakan dipamerkan yang menjadi tarikan kanak-kanak dan golongan dewasa adalah yang jinak serta dapat disentuh pengunjung. Justeru katanya, melalui program ini akan dapat menyampaikan mesej kepada komuniti setempat mengenai kepentingan melindungi dan memelihara haiwan dengan baik serta berharap akan dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar UPMKB.
 
“Memelihara haiwan membangunkan rasa tanggungjawab dan sifat empati dalam diri seseorang kerana haiwan memerlukan penjagaan dan perhatian setiap masa,” jelasnya sambil berharap program ini akan dapat melahirkan pelajar berkualiti dan berketrampilan tinggi.
 
Katanya, dengan kerjasama dan komitmen terjalin dalam program ini, kita berharap akan dapat meneruskan program sama pada masa akan datang dengan maju jaya.

Tarikh Input: 20/11/2023 | Kemaskini: 20/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdBA7~