DBP DAN UPMKB JAYAKAN BENGKEL BERSAMA 20 PESERTA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » DBP DAN UPMKB JAYAKAN BENGKEL BERSAMA 20 PESERTA

DBP DAN UPMKB JAYAKAN BENGKEL BERSAMA 20 PESERTA

DEWAN Bahasa dan Pusaka (DBP) cawangan Sarawak dan DBP Kuala Lumpur serta Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah bersamasama menjayakan Bengkel Pemurnian Manuskrip Buku Umum di TEGAS Innovation Hub, Bintulu baru-baru ini.

Peserta melibatkan 20 pensyarah dan pegawai UPMKB yang merupakan antara penulis yang telah mempunyai draf manuskrip buku yang bakal diterbitkan.

Dalam bengkel tersebut, pihak DBP memberi panduan dalam piawaian manuskrip kepada peserta untuk tujuan penerbitan dan cetakan melalui DBP serta turut berkongsi pengalaman dengan merujuk penulisan buku yang telah berjaya diterbitkan sebelum ini di DBP.

Editor DBP Kuala Lumpur Suzana Ibrahim dalam taklimatnya berkata, DBP merupakan platform terbaik kepada pensyarah universiti atau penulis yang berminat menghasilkan buku bacaan terbitan bahasa Melayu.

“Ini kerana DBP menyediakan latihan, penerbitan serta cetakan percuma naskhah buku mengikut panduan penghasilan buku DBP,” katanya.

Beliau mengingatkan penulis-penulis agar mempunyai integriti tinggi dalam hasil yang dicipta, membuahkan ketulenan dan minat orang ramai membaca, selain mampu memperkembangkan ilmu dengan kepakaran yang ada.

“Apa yang utama juga adalah kerjasama erat antara penulis dengan editor bagi memastikan kelancaran penghasilan buku mengikut informasi terkini, piawaian, kecukupan maklumat, etika dan tempoh diterbitkan,” kata Suzana.

Beliau menekankan kegagalan membentuk kerjasama yang baik antara penulis dan editor boleh menjadi punca kualiti penerbitan buku tidak mencapai apa diinginkan dan sukar diterbitkan walaupun mempunyai tajuk serta kandungan yang sangat menarik untuk dibaca.

Pada masa sama Editor DBP Munirah Ghazali berkata, beliau sangat berpuas hati dengan hasil pembentangan setiap pensyarah dan pegawai UPMKB pada bengkel kali ini.

Beliau meminta semua peserta untuk meneruskan penulisan mengikut perancangan tempoh dan mengharapkan agar dapat menghasilkan buku seperti cadangan tambah baik yang telah diberikan dalam bengkel ini.

Selain itu, salah seorang peserta bengkel Dr Latifah Omar meluahkan kegembiraan dapat hadir ke bengkel kali ini.

Menurutnya, melalui bengkel DBP ini dapat meningkatkan motivasi diri untuk terus menulis bahan ilmiah akademik dan telah memberi idea tambah baik kandungan buku serta bimbingan penulisan buku yang menepati keperluan pihak penerbit.

“Sangat bersyukur dapat hadir ke bengkel ini dan membentangkan draf manuskrip saya di hadapan editor-editor DBP untuk dinilai potensi dan pandangan tambah baik kandungan buku yang sedang ditulis bersama rakan lain berkaitan penghasilan fras ulat lalat askar hitam,” kata Latifah.

Tambahnya, beliau dan rakan-rakan akan berusaha menghasilkan buku ini dalam tempoh dicadangkan, berkongsi pandangan berkaitan cabaran sebagai penulis masa kini terutamanya yang bekerjaya sebagai pensyarah dan mempunyai pelbagai tugas hakiki lain di universiti.

Beliau berkata, cabaran yang dilihat adalah dari segi pengurusan masa dan mengekalkan momentum bagi meneruskan minat membuat penulisan.

“Dengan adanya bengkel seperti ini sekurangkurangnya telah dapat memberi ruang masa dan meningkatkan momentum untuk menyiapkan penulisan buku yang bakal dihasilkan,” jelasnya.

Tarikh Input: 19/02/2024 | Kemaskini: 19/02/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcHAr~