BIOINC UPMKB JAYAKAN WEBINAR ANTARABANGSA BERSAMA NARSS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » BIOINC UPMKB JAYAKAN WEBINAR ANTARABANGSA BERSAMA NARSS

BIOINC UPMKB JAYAKAN WEBINAR ANTARABANGSA BERSAMA NARSS

BINTULU: Kelab Bioindustri (BioInc) Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kebangsaan Penderiaan Jauh dan Sains Angkasa Lepas (NARSS) Kaherah, Mesir telah menganjurkan webinar antarabangsa 'Putra Outreach Agrivarsity: From Malaysia to Egypt 2023' baru-baru ini.

Webinar itu dikendalikan pengarah programnya Christie Rekan Patan dan Dr Jessica Jeyanthi James Antony selaku penasihat Kelab Bioindustri yang disertai 109 peserta dari empat negara iaitu Malaysia, Mesir, Iraq dan Rusia.

Webinar sehari dalam talian ini telah dijalankan melalui platform Zoom. Christie dan Dr Jessica mengucapkan terima kasih kepada para pelajar, penyelidik muda dan pensyarah atas penyertaan penuh semangat mereka dalam program itu. 

"Penghargaan juga kepada Jawatankuasa Program Kelab Bioindustri dan ahlinya serta penceramah atas sumbangan mereka untuk menjayakan program ini," katanya.

Perasmiannya disempurnakan Ketua Jabatan Sains Tanaman UPMKB Dr Zakry Fitri Abdul Aziz yang mewakili Dekan Fakulti Pertanian dan Sains Perhutanan UPMKB Dr Zamri Rosli dan Pengerusi NARSS Profesor Dr Islam Abou El-Magd.

Dr Zakry dan Profesor Dr Islam dalam kenyataan bersama menjelaskan mengenai kepentingan kerjasama institusi merentas negara terutama dalam mempromosikan pertukaran pengetahuan untuk memupuk pertanian mampan yang memberi manfaat kepada individu dan alam sekitar.

"Diharap kerjasama antara NARSS dan UPMKB akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang yang tidak hanya tertumpu kepada pertukaran ilmu dalam kalangan pelajar tetapi juga penyelidikan dan pengajaran bagi memastikan keselamatan makanan melalui pembangunan sektor pertanian," kata Dr Zakry.

Sementara itu, moderator program Ts Dr Shiamala Devi Ramaiya mengalu-alukan semua peserta dan penceramah yang menyertai program itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman UPMKB Dr Hanisah Kamilah Abdul Razak yang turut serta dalam program itu menyatakan mengenai teknologi bio-bahan digunakan untuk meningkatkan kesuburan tanah dan penghasilan produk berasaskan bio berkaitan seperti bio-perangsang, pembungkusan bio dan lain-lain.

Siswi PhD UPMKB Aisyah Pratiwi Suryanto Sugian pula memperkatakan tentang evolusi landskap dan teknologi pertanian bermula daripada penanaman padi hinggalah kepada penanaman kelapa sawit di Malaysia. 

Dua penceramah jemputan dari NARSS Profesor Dr Elsayed Said Mohamed dan Mohamed Emam Sayed Amin berkongsi pandangan tentang teknologi penderiaan jauh yang digunakan untuk pemetaan kawasan pertanian, penilaian keadaan tanah dan mekanismenya untuk mengekalkan keselamatan makanan.

Tarikh Input: 16/01/2024 | Kemaskini: 16/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcBAE~