AKTIVITI KEMASYARAKATAN PUPUK MINAT JOYCE MORRIS SUMBANG BAKTI BUAT SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » AKTIVITI KEMASYARAKATAN PUPUK MINAT JOYCE MORRIS SUMBANG BAKTI BUAT SARAWAK

AKTIVITI KEMASYARAKATAN PUPUK MINAT JOYCE MORRIS SUMBANG BAKTI BUAT SARAWAK

BINTULU, 16 Sept – Terdedah kepada aktiviti kemasyarakatan sejak kecil berjaya memupuk minat Joyce Morris Kapong untuk terus menyumbang baktinya pada masyarakat di pedalaman Lundu, Bario, dan Limbang, Sarawak.

Beliau yang berkhidmat sebagai Guru Bahasa di CALC@UPMKB, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu UPMKB berkata beliau sanggup untuk menempuh jalan tanah dan hutan demi minat kepada aktiviti kemasyarakatan.

“Ibu bapa saya yang memperkenalkan saya kepada aktiviti kemasyarakatan. Apabila saya menemani mereka melawat komuniti di pedalaman Lundu, Bario, dan Limbang saya merasai sendiri keseronokan itu dan membantu komuniti di sana sebaik yang kami mampu,” katanya.

Katanya, penglibatan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan sehingga hari ini banyak mengajarnya untuk terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan kumpulan etnik di Bumi Kenyalang.

Sebagai anak jati Kuching suku kaum Kelabit, beliau amat menitik beratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak.

“Mungkin ada yang menganggap perpaduan ini sebagai sesuatu yang ‘cliché’, tetapi hakikatnya, ini mendorong saya untuk terus melaksanakan aktiviti komuniti di sini.

“Kami terbuka untuk mempelajari dan menerima tradisi serta cara hidup masing-masing sambil berusaha membantu satu sama lain untuk maju dalam kehidupan.

Beliau mengakui bahawa, semakin aktif dirinya bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan, lebih banyak nilai tambah yang dimilikinya selain terus meneroka khazanah dan kepelbagaian budaya serta bangsa di Sarawak.

“Saya yakin bahawa perpaduan ini wujud disebabkan oleh wujudnya sikap saling menghormati yang kukuh dalam jati diri kami. Nilai murni inilah membolehkan kami hidup sebagai satu komuniti yang erat,” katanya.

Setakat ini, beliau tidak dapat melupakan kenangannya ketika menjalankan aktiviti kemasyarakatan di SK Ulu Lubai (Sekolah Berprestasi Tinggi, Kohort Dua), Limbang pada tahun 2012.

Berkongsi pengalamannya semasa perjalanan ke SK Ulu Lubai tidak mudah kerana selepas enam jam memandu dari Bintulu ke Limbang, pasukannya perlu melalui Brunei dan terpaksa melalui hutan menggunakan jalan tanah untuk sampai ke sekolah.

“Di sana, kami tinggal di sekolah itu selama beberapa hari, dan menjalankan aktiviti bersama murid, guru dan ibu bapa serta melawat rumah panjang sekitar untuk lebih mengenali komuniti tersebut.

“Kami melihat bagaimana komuniti itu menjadi asas yang kuat kepada kecemerlangan anak-anak mereka yang bersekolah di SK Ulu Lubai,” katanya.

Jelasnya, jalinan persahabatan bersama komuniti perlu dieratkan kerana kepercayaan dan akauntabiliti boleh berkembang.

Beliau amat cinta kepada negara Malaysia dengan sepenuh hati dan berharap agar setiap rakyat Malaysia tanpa mengira negeri berpeluang menikmati segala kepelbagaian bangsa di negara ini.

"Semoga rakyat Malaysia terus merasai segala nikmat yang Tuhan telah anugerahkan kepada negara kita, sehingga tidak ada seorang pun yang ketinggalan daripada kemajuan yang sedang berlaku pada saat ini. Selamat Hari Malaysia ke-60!," katanya.

Tarikh Input: 18/09/2023 | Kemaskini: 18/09/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcWAO~