65 PELAJAR IPT SERTAI PROGRAM ANAK ANGKAT DI RUMAH SERIBU, NANGA TADA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 65 PELAJAR IPT SERTAI PROGRAM ANAK ANGKAT DI RUMAH SERIBU, NANGA TADA

65 PELAJAR IPT SERTAI PROGRAM ANAK ANGKAT DI RUMAH SERIBU, NANGA TADA

Seramai 65 pelajar dari dua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menyertai Program Anak Angkat sempena Program Jalinan Integrasi Nasional Mahasiswa 2023 di Rumah Seribu di Nanga Tada, Kanowit pada Khamis.

Anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kementerian Perpaduan Negara, program tersebut akan berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Ogos ini.

Pegawai Perpaduan JPNIN Bahagian Sibu Siti Nurfatimah Hussen berkata, objektif pelaksanaan program tersebut adalah bagi mengukuhkan integrasi nasional melalui pelaksanaan aktiviti seni budaya dan sukan yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum.

Katanya, pelajar tahun pertama IPT yang terlibat dalam program tersebut terdiri daripada 60 orang dari Universiti Pertanian Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan lima dari Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang.

“Program ini memberi peluang kepada para peserta untuk menimba pelbagai pengalaman baharu di samping mengukuhkan hubungan dan interaksi sosial antara generasi muda dan komuniti setempat melalui sikap saling memahami bahasa ibunda, adat resam dan budaya kaum lain,” ujarnya.

Justeru katanya, melalui penyertaan dalam program sedemikian diharapkan dapat menggalak dan memupuk pembudayaan semangat kesukarelawan dalam diri pelajar.

“Pengalaman baharu yang diperolehi diharapkan mampu membentuk individu yang cintakan negara, prihatin, bertolak ansur dan bekerjasama dalam memastikan keharmonian negara.

“Sepanjang program lima hari empat malam ini, para peserta akan duduk bersama keluarga angkat mereka untuk merasai pengalaman sebenar budaya, makanan dan amalan seharian masyarakat setempat,” jelasnya.

Menurut Siti Nurfatimah, sesi perkongsian ilmu seperti taklimat juga akan diadakan berhubung definisi perpaduan dan integrasi nasional dari segi dialek, adat dan budaya masyarakat tempatan.

Majlis Penyerahan Anak Angkat tersebut disempurnakan oleh Pengarah JPNIN Negeri Sarawak Dirwana Azool. Hadir sama, Pengetua Kolej dan Ketua Hal Ejwal Pelajar UPMKB Dr Kamil Latif.

Tarikh Input: 08/08/2023 | Kemaskini: 15/08/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcWAN~