50 PELAJAR SERTAI PROGRAM SULAM BAGI LITERASI DIGITAL, KEUSAHAWANAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 50 PELAJAR SERTAI PROGRAM SULAM BAGI LITERASI DIGITAL, KEUSAHAWANAN

50 PELAJAR SERTAI PROGRAM SULAM BAGI LITERASI DIGITAL, KEUSAHAWANAN

BINTULU: Seramai 50 pelajar sekolah menengah dan kolej di Bintulu telah menyertai Program 'SULAM' atau 'Service Learning Malaysia – University For Society@ Lit-Tech Project' di TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu, Naim Street Mall Paragon Bintulu, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, SMK Bandar Bintulu dan Kolej Vokasional Bintulu yang diterapkan dengan seminar dan aktiviti bagi mendekatkan mereka dengan literasi digital dan keusahawanan. 

Jurucakap penganjur berkata, program itu merupakan anjuran 30 pelajar Diploma Sains Komputer Semester 4 Sesi 2023/2024 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama strategik Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Youth Leaders Entrepeneurship (YLE) UPMKB. 

"SULAM merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menggalakkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti," jelasnya di sini, semalam.

Katanya, seminar yang diadakan mengupas tajuk 'Mendekati Reka bentuk Moden' yang memberi ruang kepada pelajar mempelajari asas reka grafik serta 'Selamat tinggal kepada Pancingan Data dan Penipuan' berkenaan cara-cara untuk melindungi diri daripada penipuan siber. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Moon'z Enterprise Mona Liza yang merupakan pengusaha perniagaan madu kelulut tempatan turut dijemput menyampaikan ceramah 'Rahsia Usahawan'.

Turut diadakan adalah aktiviti berkumpulan bersama para peserta bagi memupuk semangat kerjasama, pembelajaran secara aktif serta pertukaran idea.

Pada masa sama, pengarah program SULAM @ Lit-Tech Project Russell Tang Hsien Rhon berkata, matlamat program itu telah berjaya dicapai.

Katanya, para peserta bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan bahkan meluangkan masa bersama terlibat tdalam pelbagai aktiviti menarik yang diadakan. 

"Saya bersyukur melihat para peserta dapat mempelajari pelbagai perkara mengenai literasi digital, bertemu rakan baharu dan seronok melakukan aktiviti-aktiviti berkumpulan," ujarnya.

Hadir sama pada program itu ialah Pengarah Kampus UPMKB merangkap Penaung YLE UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini serta Ketua Jabatan Sains dan Teknologi Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMKB Dr Wan Nor Zanariah Zainol@Abdullah.


 

Tarikh Input: 08/12/2023 | Kemaskini: 08/12/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbVAg~