50 MURID SK KELAWIT TATAU SERTAI `GAMIFIKASI' | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 50 MURID SK KELAWIT TATAU SERTAI `GAMIFIKASI'

50 MURID SK KELAWIT TATAU SERTAI `GAMIFIKASI'

BINTULU: Seramai 50 murid Tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit Tatau menyertai program `Gamifikasi' yang mengguna kaedah permainan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut pada Isnin.

Program tersebut melibatkan kerjasaam SK Kuala Annau dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMB) Sarawak membabitkan sesi perkongsian ilmu berkenaan subjek Sains serta meningkatkan kefahaman kemahiran berkonsepkan sains melalui permainan dalam kalangan murid sekolah pedalaman Sarawak. 

Pensyarah kanan UPMKB Dr Fatin Hana Naning @ Zin bertindak sebagai pemerhati turut hadir dalam program tersebut.

Pengarah program, Parin Linting berkata, sesi perkongsian ilmu ini merupakan lanjutan dari program penerapan gamifikasi dan makmal sejagat bagi 
subjek terbabit di SK Kuala Annau oleh penyelidik UPMKB.

"Program khidmat masyarakat ini merupakan sebahagian inisiatif UPM untuk merapatkan jurang antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan komuniti melalui Skim Geran Pemindahan Ilmu atau `Knowledge Transfer Grant Scheme (KTGS)'," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, guru sains dari SK Kuala Annau yang telah mendapat pendedahan kaedah gamifikasi telah berkongsi ilmu dengan para guru dan murid di SK Kelawit dalam program tersebut.

Sementara itu, Guru Besar SK Kelawit Bala Laja berkata, beliau berbesar hati dengan kesudian guru-guru sains SK Kuala Annau berkongsi ilmu dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran ini dengan harapan akan dapat mencetus minat murid-murid mendalami subjek sains.

Katanya, gamifikasi merujuk kepada penggunaan elemen-elemen permainan seperti persaingan, ganjaran, cabaran dan pencapaian dalam konteks bukan permainan.
  
"Ia boleh menjadi inisiatif metodologi pengajaran yang berkesan terutama untuk sekolah di kawasan pedalaman menghadapi cabaran unik dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada murid-murid disebabkan sumber terhad dan batasan geografi," jelasnya.

Menurutnya, antara pengisian program ialah eksperimen sains seperti mengukur pH tanah (menguji tahap asid yang terkandung dalam tanah), pembinaan set penapisan air, kuiz sains serta aktiviti pembinaan jambatan lidi.

Beliau berkata, pelaksanaan program seperti ini secara langsung mendukung hasrat kerajaan untuk memperkaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda, terutama murid-murid di kawasan pedalaman.

Ujarnya, dengan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, gamifikasi dapat memperkasakan murid luar bandar untuk menerima sains sebagai  alat untuk memahami dunia sekeliling mereka dan mencipta masa depan yang lebih baik. 

"Ia diharap dapat memupuk serta meningkatkan minat murid-murid untuk terus memperkasakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian," jelasnya.


 

 

Tarikh Input: 06/10/2023 | Kemaskini: 06/10/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcVAI~