44 PELAJAR TAHUN AKHIR BENTANG INOVASI DISERTASI AFSUS2024 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 44 PELAJAR TAHUN AKHIR BENTANG INOVASI DISERTASI AFSUS2024

44 PELAJAR TAHUN AKHIR BENTANG INOVASI DISERTASI AFSUS2024

BINTULU: Seramai 44 pelajar ijazah sarjana muda tahun akhir merangkumi pelajar yang mengikuti program Sarjana Muda Sains Bioindustri dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains Perhutanan dengan Kepujian telah membentangkan hasil penyelidikan atau inovasi disertasi sarjana muda yang merangkumi bidang bioindustri, akuakultur dan perhutanan pada Jumaat minggu lepas.

Pembentangan itu adalah sempena berlangsungnya Seminar Mahasiswa Sains Pertanian dan Perhutanan 2024 (AFSUS2024) anjuran Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) baru-baru ini.

Perasmian AFSUS2024 telah disempurnakan Dekan FSPH Dr Zamri Rosli yang berharap penganjuran seminar ini akan dapat membantu pelajar dan ahli akademik untuk saling berkongsi pendapat dari segi pengetahuan dalam bidang yang dipelajari.

Selain itu katanya, melaluinya mereka akan lebih berkeyakinan dalam kemahiran insaniah, seterusnya menjadi pemangkin dalam inovasi dan kemajuan dalam bidang sains pertanian serta perhutanan.

Pada masa sama Pengerusi AFSUS2024 Dr Tan Toh Hii berkata, seminar itu merupakan satu langkah untuk menaik taraf dan memperkasakan pengendalian kursus Disertasi Bacelor di bawah Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, sekali gus menjadi platform untuk melahirkan modal insan profesional khususnya dalam bidang penyelidikan.

Katanya, pengisian program AFSUS2024 terdiri daripada dua sesi iaitu sesi pertama adalah perkongsian daripada plenari yang terdiri daripada pegawai akademik FSPH yang berkongsi kepakaran dan pandangan profesionalisme mereka.

"Seminar plenari yang pertama disampaikan oleh Profesor Madya Dr Leong Sui Sien yang mengupas tajuk 'Bridging the Gap between Sustainable Development Goals and Food Security'.

"Plenari yang kedua pula disampaikan oleh Profesor Madya Dr Geoffery James Gerusu dengan mengangkat tajuk 'Passion Towards Post Graduate Study - But What Lies Beyond?" ujarnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Manakala plenari ketiga katanya, disampaikan oleh Profesor Dr Patricia King Jie Hung yang membentangkan tajuk ‘Empowering Tomorrow's Leaders: The Crucial Role of Young Researchers in Addressing Food Insecurity’. 

Jelasnya, sesi kedua AFSUS2024 adalah sesi pembentangan poster pelajar bacelor tahun akhir yang mana pelajar menunjukkan hasil kajian dan penyelidikan mereka kepada peserta AFSUS2024.

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FSPH Profesor Madya Dr Noorasmah Saupi dalam penutupan AFSUS2024 menyeru para pelajar untuk mengambil inisiatif, peluang serta ruang yang telah disediakan ini untuk pembangunan diri khususnya bagi yang berminat dalam penyelidikan dan akademik.

Tarikh Input: 18/01/2024 | Kemaskini: 18/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAs~