41 AHLI KELAB PEMADAM UPMKB SERTAI PROGRAM HARI BERSAMA PEMADAM 2.0 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 41 AHLI KELAB PEMADAM UPMKB SERTAI PROGRAM HARI BERSAMA PEMADAM 2.0

41 AHLI KELAB PEMADAM UPMKB SERTAI PROGRAM HARI BERSAMA PEMADAM 2.0

BINTULU: Seramai 41 ahli Kelab Pencegahan Dadah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menyertai Program Hari Bersama PEMADAM 2.0 di Pantai Tanjung Batu di sini kelmarin.

Jurucakap penganjur berkata, program mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bahagian Bintulu dengan menerapkan pengisian sesi perkongsian kisah di sebalik jeriji besi oleh bekas banduan yang terjerumus dalam kancah najis dadah sehingga dipenjarakan dan kini diberi parol.

Katanya, turut diadakan ialah pameran dan ceramah bahaya najis dadah oleh Ahmad Amirul daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bintulu.

“Selain ceramah, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bawah 12 tahun juga diadakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kemuncak program adalah acara sukaneka, kuiz berkaitan dadah serta cabutan bertuah.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi PEMADAM Daerah Bintulu Kederi Yusof mewakili Pengerusinya merangkap Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid.

Kederi berkata, PEMADAM Daerah Bintulu bersama Kelab PEMADAM UPMKB merancang mengadakan program lawatan muhibah ke Brunei Darussalam pada masa akan datang.

“Program tersebut masih dalam perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara tersebut,” katanya.

Hadir sama Ketua Inspektor Penjara Muhammad Badli Weini, Sarjan Penjara Sofezul Ramali, Muhammad Danial daripada AADK Bintulu, penasihat program Rosidah Basir dan Pegawai Psikologi UPMKB Abdul Rahim Habib.

Tarikh Input: 19/02/2024 | Kemaskini: 20/02/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcRAA~