16 PELAJAR UPMKB ADAKAN LAWATAN AKADEMIK KE MIRI CRUDE OIL TERMINAL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 16 PELAJAR UPMKB ADAKAN LAWATAN AKADEMIK KE MIRI CRUDE OIL TERMINAL

16 PELAJAR UPMKB ADAKAN LAWATAN AKADEMIK KE MIRI CRUDE OIL TERMINAL

BINTULU: Seramai 16 pelajar Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian (BSKP) dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan tiga pensyarah pengiring mengadakan lawatan akademik ke Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Miri, kelmarin.

UPMKB dalam satu kenyataan semalam berkata, lawatan akademik itu merupakan satu tugasan pelajar yang melibatkan proses Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) bagi Kursus CHY3602 Proses Penapisan Petroleum yang sedang dipelajari sekarang.

“Program seperti lawatan akademik ini adalah cara untuk pelajar membina jaringan kerjasama dengan pihak industri di samping memberi peluang mereka untuk melihat sendiri bagaimana proses penapisan minyak dan gas yang diterapkan dalam MCOT,” katanya.

Menurutnya, dalam lawatan itu pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan dibimbing oleh tenaga pakar yang mahir dalam proses penapisan minyak dan menerangkan secara terperinci proses penapisan petroleum.

Justeru katanya, ia memudahkan pelajar untuk berkomunikasi dan bertanya soalan yang berkaitan bagi setiap proses yang diterangkan kepada mereka.

Pengarah program Eymie Olivia Pias berkata, lawatan itu merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi semua pelajar BSKP Semester 5.

Katanya, ia memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dan belajar dengan lebih mendalam ilmu pemprosesan penapisan petroleum bagi memberikan pendedahan awal kepada mereka sebagai persediaan sebelum memasuki dunia pekerjaan dalam sektor minyak dan gas.

Pensyarah kursus tersebut Dr Tengku Sharifah Marliza berkata, Jabatan Sains dan Teknologi (JSTEK) akan sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti sedemikian bagi memastikan pelajar peka dan bersedia memenuhi keperluan era perindustrian 4.0 pada masa ini.

“Program lawatan akademik ini bakal diadakan lagi pada tahun hadapan dan dijadikan program tahunan agar dapat mengeratkan hubungan UPMKB dan MCOT,” tambahnya.

 

Tarikh Input: 09/01/2024 | Kemaskini: 12/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcVA5~