UPMKB ANJUR PIDATO KENYALANG 2024 MEMARTABATKAN SENI PIDATO DALAM KALANGAN PELAJAR BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » UPMKB ANJUR PIDATO KENYALANG 2024 MEMARTABATKAN SENI PIDATO DALAM KALANGAN PELAJAR BINTULU

UPMKB ANJUR PIDATO KENYALANG 2024 MEMARTABATKAN SENI PIDATO DALAM KALANGAN PELAJAR BINTULU

BINTULU 30 Mac – Pertandingan Pidato Kenyalang Edisi Kedua 2024 menjadi platform untuk memperkasa bakat berpidato dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti di daerah Bintulu. Program anjuran pelajar Kursus Seni Penghujahan QKT2101 Kumpulan 1, Semester Pertama Sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) ini adalah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu.
 
Pengarah Program, Alya Hafizah Bt Omar berkata program ini diadakan bagi memartabatkan seni pengucapan dan ungkapan fikiran di khalayak umum serta melatih generasi millenia masa kini untuk melontarkan idea yang bernas di khalayak ramai.
 
Penyertaan bagi program tersebut terbuka kepada tiga kategori iaitu; sekolah rendah, sekolah menengah dan mahasiswa. Untuk pusingan saringan, setiap peserta perlu menyampaikan pidato bertajuk bebas berdasarkan tema berikut: Kategori Sekolah Rendah: Rukun negara amalan hidup kita; Kategori Sekolah Menengah: Generasi Muda Penyambung Warisan dan Kategori Mahasiswa: Madani Teras Pembangunan Negara.
 
Bagi kategori sekolah rendah, peserta dari SK Kampong Baru, Noella Magdalina Callista Anak Maria telah merangkul johan manakala Deviey Sim Bing Bing dari SJKC Chung Hua Bintulu 2 meraih naib johan dan Amir Hamzah Bin Mohamad Syahmizan dari SK Integrasi Al- Amin Bintulu meraih tempat ketiga.
 
Sementara itu, bagi kategori sekolah menengah, tempat pertama dimenangi oleh peserta dari SMK Baru Bintulu, Arif bin Asmakhan. Pelajar yang merupakan anak jati Bintulu itu berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak menyuntik semangatnya untuk terus mempelajari serta meningkatkan pengetahuannya mengenai Bahasa Melayu dan seni berpidato.
 
"Saya amat berterima kasih kepada guru pembimbing yang telah banyak membantu saya dalam latihan serta penyemakan skrip pidato," katanya ketika ditemui. Tempat kedua pula dimenangi oleh Fernandez Feliz Jampi dari sekolah yang sama dan tempat ketiga dibawa pulang oleh oleh Dominic Anak John dari SMK Asyakirin.
 
Linvern Paulus Sendys dari IPG Kampus Rajang telah merangkul johan dalam kategori mahasiswa manakala Wan Irfan Hakim Bin Wan Ismail dari UPMKB dinobatkan sebagai naib johan dan tempat ketiga pula disandang Aliyana Hamiezah Binti Abdul Rahman dari IPG Kampus Rajang.
 
Livern tampil menyerlah dengan menggayakan persalinan baju melayu dengan dengan pidatonya bertajuk "Sarawak, Ibu Pertiwiku. Beliau merupakan Naib Johan kategori IPT Pertandingan Pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan 2023 berkata, dia bersyukur dengan kejayaan tersebut terutama selepas usaha gigih serta latihan berterusan yang dilaluinya demi pertandingan tersebut. Para pemenang tempat pertama hingga ketiga untuk setiap kategori membawa pulang hadiah berupa wang tunai, cenderamata dan sijil penyertaan.
 
“Program ini mampu memberi pendedahan dan mendidik para pelajar serta orang awam akan kepentingan seni penghujahan dan peranannya dalam membangunkan masyarakat madani selaras dengan aspirasi negara, ” kata Mohamad Syukri Bin Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB dalam ucapannya mewakili Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus UPMKB di Bilik Kuliah 1, UPMKB.
 
Hadir sama En. Muhamad Farrid Che Hasan, Unit Kokurikulum, PPD Bintulu, Dr. Alvin Lim Teik Zheng, Penasihat Program dan Pn. Hairunisah Binti Abdul Rahman, Pejabat Pengurusan Pelajar, UPMKB. Sebanyak 30 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang turut menyaksikan kategori anugerah pemidato harapan diperkenalkan.
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 02/04/2024 | Kemaskini: 02/04/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXENQA3~