Program Rentas Sempadan Borneo 2018 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » Program Rentas Sempadan Borneo 2018

Program Rentas Sempadan Borneo 2018

Program Rentas Sempadan Borneo 2018 (RSB) telah dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). Program ini adalah satu misi mendekatkan warga universiti dengan masyarakat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) universiti menerusi cabaran perjalanan darat yang akan meliputi perjalanan sejauh 2,500 km.

Menurut Prof. Madya Dr. Saafie Salleh, Pengerusi RSB 2018, program ini bertujuan untuk mengadakan aktiviti amal dan khidmat masyarakat kepada komuniti kampung. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan kesihatan, sukaneka, promosi akademik, pertandingan mewarna dan khat, persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian, dan aktiviti merewang bersama komuniti kampung dan sebagainya.

Tambah Dr. Saafie lagi, para pelajar yang datang dari negeri berlainan khasnya dapat didedahkan dengan budaya dan adat resam penduduk setempat serta memahami budaya kaum yang berlainan.
Dua lokasi persinggahan telah dipilih iaitu di Kg. Empila, Kota Samarahan (7-8 November) dan Ulu Sebauh, Bintulu (9-11 November) untuk menjayakan program ini.

Seramai 70 orang peserta (staf dan pelajar) daripada UMS dan 26 orang pelajar UPMKB telah mengikuti program ini sebagai sukarelawan di Rumah Panjang Jimbai Anak Saban, Ulu Sebauh, Bintulu pada 10-11 November 2018.

Program Rentas Sempadan Borneo 2018 dapat membentuk sahsiah murni sukarelawan UPMKB sebagai mahasiswa yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi, prihatin, kasih mengasihi dan saling hormat menghormati. Selain itu program ini juga dapat meninggalkan impak yang positif terhadap komuniti setempat. Warga universiti akan mengenali serta memahami budaya dan adat resam komuniti setempat dengan bersilang budaya, bersua mesra bersama keluarga angkat masing-masing.

Seterusnya, Rentas Sempadan Borneo 2018 juga dapat meningkatkan jaringan hubungan kerjasama erat antara universiti-universiti yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.









Tarikh Input: 14/11/2018 | Kemaskini: 15/11/2018 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W1VMERID:17:08