70 BELIA JAYAKAN PROGRAM PUTRA BAKTI UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 70 BELIA JAYAKAN PROGRAM PUTRA BAKTI UPMKB

70 BELIA JAYAKAN PROGRAM PUTRA BAKTI UPMKB


(Bersemangat para peserta program merakam kenangan bersama para penceramah, penganjur dan pengurusan universiti)


Program Putra Bakti ‘Future Entrepreneur: Road To Success’ secara bersemuka di TEGAS Digital Inovation Hub Bintulu diadakan dengan jayanya dengan menarik penyertaan seramai 70 belia dan pelajar sekitar Bintulu.

Program tersebut merupakan anjuran Pelajar Kursus QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1) Semester Kedua Sesi Akademik 2022/2023 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama TEGAS Digital Inovation Hub Bintulu serta Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) 2023 yang berlangsung pada 11 dan 12 Mac lalu.

Pengarah programnya Wan Amrin Aniq Wan Abu Manshor berkata, program itu untuk menggalak dan memperkembang nilai keusahawanan dalam diri setiap usahawan belia di sekitar Bintulu.

Katanya, ia juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan orang awam dan warga UPMKB dengan menerapkan empat sesi perkongsian ilmu untuk para belia yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Jelasnya, sesi pertama meliputi peranan usahawan kepada pemasaran di era digital, kedua pengurusan kewangan yang efektif, ketiga bantuan kewangan yang disediakan untuk belia dan keempat mendedahkan belia kepada peluang daripada ruang perniagaan yang ada.

“Aktiviti ini juga untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang cara penjanaan pendapatan yang betul dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam masyarakat berkaitan pengurusan wang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap sesi slot penceramah memberikan ilmu baharu kepada setiap peserta dengan ceramah disampaikan oleh Muhammad Abdul Rahim Habib yang mengupas tajuk ‘The Psychology of Successful People’.

“Ceramah yang disampaikan tentang psikologi manusia sangat memberi impak positif kepada para peserta untuk menempuh kehidupan penuh dengan cabaran,” katanya.

Ujarnya, slot kedua bertajuk ‘The Way To Be Success’ telah disampaikan Siti Nursafura Che Man yang merupakan pemilik Safura Bakery di mana beliau berkongsi tentang kejayaan serta halangan yang dihadapi sepanjang perjalanan perniagaannya.

Seterusnya, untuk slot ketiga katanya, ia telah disampaikan oleh Dr Anita Rosli yang mengupas tajuk ‘Entrepreneur and Business’.

“Beliau berkongsi ilmu pengetahuan tentang produk serta perkhidmatan yang bersesuaian untuk para peserta yang ingin memulakan perniagaan mereka,” katanya.

Slot ceramah terakhir pula katanya, ia telah disampai Dr Aryaty Alwie yang mengupas tajuk ‘Entrepreneurship: Sources of Finance’ memberikan pendedahan awal kepada para peserta tentang selok-belok memulakan perniagaan serta cara menguruskan kewangan dengan baik.

Penutupan rasmi program disempurnakan Fakhzan Buang yang mewakili pengurusan UPMKB.

 

 

Tarikh Input: 16/03/2023 | Kemaskini: 17/03/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdPAM~