UPMKB, ULM BEKERJASAMA ANJUR KUUB, METERAI DOU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » UPMKB, ULM BEKERJASAMA ANJUR KUUB, METERAI DOU

UPMKB, ULM BEKERJASAMA ANJUR KUUB, METERAI DOU


Prof Dr Shahrul (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Prof Dr Ahmad sambil disaksikan Husnul (tengah).


BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di sini dengan kerjasama daripada Universitas Lambung Mangkurat (ULM) Banjarmasin dan Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia, telah menganjurkan Konvensyen Universiti Universitas Borneo (KUUB) dan Pertukaran Deklarasi Persefahaman (DoU) penubuhan KUUB bersama 16 universiti ahli KUUB di Banjarmasin, baru-baru ini.

Majlis perasmian Konvensyen KUUB dan Pertukaran DoU penubuhan KUUB telah disempurnakan Rektor Universitas Lambung Mangkurat Profesor (Prof) Dr Ahmad Alim Bachri dan Pengarah UPMKB merangkap Pengerusi Pengasas KUUB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini.

Majlis tersebut turut disaksikan Staf Ahli Bidang Kemasyarakatan dan Sumber Daya Manusia (SDM) mewakili Gabenor Kalimantan Selatan (KALSEL) Husnul Khatimah serta Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei merangkap Timbalan Pengerusi KUUB Datin Paduka Prof Dr Dayang Zohrah Sulaiman.

Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPMKB Siti Rajanah Abdul Aziz berkata, KUUB merupakan pakatan universiti yang disertai 16 universiti terpilih di rantau Borneo.

"Ia terdiri daripada Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Universiti Teknologi Brunei di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam; Universitas Borneo Tarakan, ULM, Universitas Mulawarman, Universitas Palangka Raya (UPR) dan Universitas Tanjungpura (UNTAN) Pontianak di Kalimantan, Indonesia.

"Diikuti universiti di Malaysia merangkumi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Curtin University Malaysia (Curtin), Swinburne University of Technology Sarawak Campus (Swinburne), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UPMKB, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, UiTM Cawangan Sarawak dan University of Technology Sarawak (UTS)," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Justeru Siti Rajanah berkata, pertukaran DoU penubuhan KUUB menyaksikan kerjasama serantau di antara universiti ahli KUUB bagi memudahkan penganjuran bersama persidangan, kongres, seminar, latihan serta projek berkaitan dengan bidang tumpuan utama KUUB.

Katanya, projek tersebut adalah 'Pembangunan Belia', 'Wanita Dalam Penyelidikan dan Pembangunan', 'Universiti Untuk Komuniti', 'Pertukaran Seni dan Budaya', 'Kepimpinan dan Tadbir Urus Global', 'Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti' serta 'Pemuliharaan dan Biodiversiti'. 

Jelasnya, inisiatif penubuhan KUUB adalah untuk meningkatkan komitmen dan perkongsian strategik antara universiti awam dan kerajaan di Borneo untuk menyokong kecemerlangan, keupayaan, pengantarabangsaan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta mobiliti pelajar dan kebolehpasaran graduan. 

Pada masa sama katanya, pakatan ini dilihat sebagai usaha rangkaian kerjasama yang dapat memantapkan taraf pendidikan di kepulauan Borneo, sekali gus menjadikan Malaysia, Brunei dan Indonesia sebagai destinasi pengajian tinggi terulung di rantau Asia. 

Katanya, inisiatif ini turut disokong Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak serta Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. 

UPMKB merupakan sekretariat tetap KUUB yang dianggotai kakitangan pengurusannya Fakhzan Buang, Ts Dr Suhaili Mustafa, Siti Rajanah, Joyce Morris Kapong, Noor Hakim Ahmad, Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pusat Antarabangsa UPM Noraihan Nordin dan Pegawai Undang-undang UPM Nariza Mohd Elias.

Tarikh Input: 16/11/2023 | Kemaskini: 16/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDEKAB~