SARAWAK MENCAPAI POTENSI PENGELUARAN BERAS YANG LUAR BIASA DENGAN TEKNOLOGI BAHARU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » SARAWAK MENCAPAI POTENSI PENGELUARAN BERAS YANG LUAR BIASA DENGAN TEKNOLOGI BAHARU

SARAWAK MENCAPAI POTENSI PENGELUARAN BERAS YANG LUAR BIASA DENGAN TEKNOLOGI BAHARU

KUCHING, 7 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menyatakan keazamannya untuk mengubah landskap pertanian padi di Sarawak dengan memanfaatkan teknologi canggih.
 
Beliau menyatakan, "Sekarang kita mengimport beras, walaupun tanah dan air mencukupi untuk mengeluarkan beras kita sendiri."
 
Beliau menyerlahkan kejayaan kajian yang dijalankan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) di beberapa lokasi termasuk Gedong dan Lubok Punggor yang telah berjaya.
 
“Alhamdulillah, saya bermula di Gedong, di Lubok Punggur dan dalam kajian kita dengan UPM menggunakan kaedah baharu kita mampu mengeluarkan 8 tan padi dalam 1 hektar. Kaedah lama hanya mampu mengeluarkan 1 tan,” katanya dalam ucapan beliau semasa Majlis Samarindok Aidilfitri 2024M/1445H anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di Hotel Pullman.
 
Beliau turut mengetengahkan perubahan budaya teknologi adalah perlu dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Melayu di pesisir pantai.
 
Satu lagi inisiatif yang diperkenalkan oleh beliau ialah penggunaan sumber air yang cekap di Stumbin, Lingga.
 
"Kita mengepam air dari Sungai Batang Lupar ke tangki tinggi, kita memasang paip dan melepaskan air dan ia akan memutarkan dinamo, turbin akan menghasilkan elektrik. Kerana ia mengikut teori graviti," katanya.
 
Jelasnya, air yang dikeluarkan juga boleh digunakan untuk mengairi tanaman padi, mewujudkan sistem yang cekap dan mampan.
 
"Ini boleh meningkatkan pendapatan rakyat kita di pesisir yang kebanyakannya orang Melayu. Jika kita boleh kuasai teknologi, maka pendapatan kita boleh meningkat," katanya.
 
Turut hadir TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Premier Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan dif-dif kenamaan yang lain.
 

 

 

Tarikh Input: 08/05/2024 | Kemaskini: 08/05/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
WXFUHAh~