MAHASISWA PERLU PERKASA KEUPAYAAN MELALUI KOKURIKULUM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » MAHASISWA PERLU PERKASA KEUPAYAAN MELALUI KOKURIKULUM

MAHASISWA PERLU PERKASA KEUPAYAAN MELALUI KOKURIKULUM

BINTULU: Mahasiswa baharu perlu menyerlahkan potensi diri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang ditawarkan di universiti dalam usaha memperkasa keupayaan mereka dalam pelbagai bidang.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, mahasiswa perlu menyerlahkan bakat dalam bidang sukan, perdebatan, kebudayaan dan lain-lain melalui kelab, persatuan serta subjek ditawarkan di universiti. 

Katanya, dengan keupayaan itu, universiti akan dapat memperkasa mahasiswa dengan memberikan mereka lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan amanah dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti berpersatuan. 

"Ia seiring dengan Pemerkasaan Mahasiswa dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi Akademik 2023/2024 Diploma dan Persediaan Diploma UPM Kampus Bintulu (UPMKB) di Dewan Sri Kenyalang UPMKB baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM Profesor Dr Nazamid Saari.

Seramai 198 mahasiswa dan mahasiswi baharu hadir pada majlis tersebut dengan disaksikan jawatankuasa universiti dan pensyarah UPMKB.

Beliau berkata, mahasiswa baharu juga perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi menjadikan mereka lepasan graduan UPM berstatus global semasa mencari pekerjaan sekali gus menjadi tarikan syarikat-syarikat multinasional dan antarabangsa untuk mendapatkan kebolehan mereka sebagai tenaga pekerja. 

Tambahnya, mahasiswa perlu menggunakan kelebihan pembelajaran di universiti untuk mengasah penguasaan bahasa Inggeris melalui penulisan dan komunikasi.

Pada masa sama beliau menasihati mahasiswa kekal menghayati prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan dengan berhemah terutama ketika berkomunikasi dalam media sosial dengan tidak mengeluarkan komen-komen keterlaluan, ayat-ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Katanya, tindakan negatif itu boleh merosakkan pemikiran dan adab sebagai seorang manusia yang berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Profesor Dr Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM Profesor Dr BT Hang Tuah Baharudin dan Pengarah Kampus UPMKB Profesor Shahrul Razid Sarbini.

 

Tarikh Input: 03/08/2023 | Kemaskini: 03/08/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdHAi~