UPMKB TERIMA BEBERAPA ANUGERAH PADA MAJLIS ICAN 2022-2023 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » UPMKB TERIMA BEBERAPA ANUGERAH PADA MAJLIS ICAN 2022-2023

UPMKB TERIMA BEBERAPA ANUGERAH PADA MAJLIS ICAN 2022-2023

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) melakar kejayaan besar apabila menerima beberapa anugerah pada Majlis Anugerah Apresiasi Industri dan Komuniti (ICAN) 2022-2023 di Masmera Ballroom 1 Hotel Everly, Putrajaya pada Selasa lalu.

Jurucakap UPMKB berkata, majlis anugerah anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM) UPM ICAN 2022/2023 merupakan acara dwi-tahunan ke-10 yang bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan rakan industri, komuniti dan warga kampus UPM sepanjang tahun 2021 dan 2022.

Katanya, ICAN turut menyampaikan anugerah kepada pegawai akademik, pegawai bukan akademik dan pelajar UPM terbaik yang terlibat dalam projek jaringan industri dan komuniti berimpak tinggi.

“Projek jaringan terbaik ini telah dinilai oleh ahli panel yang melihat kepada projek berimpak tinggi yang mencapai tahap empat atau lima bintang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, projek itu juga menunjukkan adanya kelestarian dan telah mencapai tahap penghakupayaan dalam komuniti.

Sementara itu, perasmian majlis tersebut telah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (JINM) UPM, Prof Ir Dr BT Hang Tuah Baharudin.

Pegawai akademik yang menerima anugerah tersebut di bawah Projek Jaringan Industri Terbaik 2021 (Pegawai Akademik) ialah Prof Dr Patricia King Jie Hung yang merupakan Ketua Projek Potensi Penggunaan Sisa Enapcemar Industri dalam Pertanian dan Prof Madya Dr Ong Kian Huat untuk Ketua Projek Penubuhan Bambusetum di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak.

Penerima anugerah Projek Jaringan Komuniti Terbaik 2022 untuk Pegawai Bukan Akademik pula ialah Joyce Morris Kapong yang mengetuai Projek Program Pembangunan Kemahiran Pertanian Komuniti Iban di Perkampungan Rumah Jungan, Bintulu Sarawak.

Selain itu, untuk anugerah Rakan Industri Terbaik 2021 ialah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) (Kursi Pehin Sri Adenan Satem) dan Rakan Industri Terbaik 2022 ialah Pejabat Premier Sarawak bagi Projek Transformasi Penanaman Padi AgriHub di Gedong.

Manakala Rakan Komuniti Terbaik 2021 diraih Komuniti Kampung Bako, Kuching Sarawak untuk Program Pengurusan dan Pembuatan Baja dari Sisa Pepejal dan Sisa Dapur ke arah Kelestarian Alam Sekitar di bawah Ts Dr Nozieana Khairuddin.

Ini diikuti Rakan Komuniti Terbaik 2022 disandang Komuniti Rumah Jungan Bintulu Sarawak untuk Program Pembangunan Kemahiran Pertanian Komuniti Iban di Perkampungan Rumah Jungan Bintulu Sarawak di bawah Joyce Morris Kapong.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.

Date of Input: 19/09/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcAAo~