UPMKB, PEJABAT PENDIDIKAN DARO ANJUR FORUM PENDIDIKAN TINGGI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » UPMKB, PEJABAT PENDIDIKAN DARO ANJUR FORUM PENDIDIKAN TINGGI

UPMKB, PEJABAT PENDIDIKAN DARO ANJUR FORUM PENDIDIKAN TINGGI

BINTULU: Bersempena Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertulis yang bakal dijalankan bermula 30 Januari 2024 ini, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Daro telah menganjurkan Forum Pendidikan Tinggi bertajuk `Antara Mengejar Cita-cita atau Berkerjaya Awal di Daro baru-baru ini.
Panel forum terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) UPMKB, Prof Madya Dr Noorasmah Saupi.
Program itu untuk memberikan panduan dan nasihat kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hjh Normah Daro dalam memahami keperluan antara memilih peluang melanjutkan pendidikan tinggi atau kerjaya awal di usia muda.
Forum dimulakan dengan melihat isu berkaitan tarikan ekonomi gig seperti kecenderungan untuk bekerja sebagai pemandu dan penghantar makanan e-hailing dalam kalangan lepasan pelajar SPM berbanding melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau institusi pendidikan tinggi.
Safiee berkata, peluang ekonomi gig sebaiknya digunakan sebagai kaedah menjana pendapatan terutama ketika menyambung pengajian ke universiti sekali gus perlu dilihat sebagai peluang dan bukan penghalang melanjutkan pendidikan tinggi.
Paling utama juga, kita perlu menilai dan menyesuaikannya dengan kemahiran, minat dan kelayakan yang ada untuk memilih sama ada melanjutkan pengajian atau bekerja awal dalam bidang diminati, katanya.
Dari segi bantuan kewangan dan pinjaman pendidikan katanya, pelajar tidak harus menjadikan ia satu halangan dan masalah terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah B40.
Pelajar perlu meletakkan keyakinan dan usaha untuk melanjutkan pengajian terlebih dahulu, memandangkan masalah kewangan itu hanya persepsi bukan hutang tetapi satu pelaburan, jelasnya.
Menurutnya, bantuan kewangan dan rezeki itu akan ada sekiranya kita betul-betul berusaha dan melakukan yang terbaik untuk mendapatkannya.
Hari ini banyak bantuan kewangan disediakan untuk pendidikan oleh pihak kerajaan terutamanya Kerajaan Sarawak dan pihak lain yang menyediakan bantuan
serta biasiswa pendidikan, katanya.
Katanya, beliau sendiri sebagai wakil rakyat Daro sedia membantu dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan anak-anak muda di Daro.
Bukan senang hendak senang dan bukan susah hendak susah, yang penting pupuk minat serta cari peluang untuk belajar, katanya sambil menasihati calon-calon SPM dan STPM untuk bijak memilih keperluan kepakaran pada masa kini dan masa depan.
Katanya, cari pengalaman dengan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi terutamanya pengalaman belajar di universiti.
Musuh kita adalah diri kita sendiri dan kita perlu lawan fikiran negatif yang tidak menggalakkan untuk maju, tambahnya.
Katanya, selain universiti terdapat juga institusi-institusi pendidikan tinggi lain yang boleh disesuaikan dengan bidang yang diminati dan keperluan kerjaya pasaran pada masa kini.
Sementara itu, Dr Noorasmah berkata, pelajar perlu bijak memilih dan menilai keperluan sama ada menyambung pengajian atau terus memilih kerjaya semasa umur masih muda.
Nasihat saya, sebaiknya pelajar lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya terutamanya yang memenuhi syarat dan kelayakan agar lebih mempunyai pilihan kerjaya pada masa depan.
Tidak salah untuk bekerja awal, namun pelajar perlu bijak untuk mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi apatah lagi mendapat tawaran ke universiti, katanya.
Menurutnya, pelajar perlu melihat masa depan dengan menjadikan pendidikan sebagai asas utama untuk membentuk peluang kerjaya, kerana kegagalan pelajar dalam mengambil peluang ini akan menjadikan mereka kekal di takuk lama.
Justeru, beliau menasihati pelajar agar tidak terpengaruh dengan budaya glamor iaitu terpukau dengan kerjaya sebagai pempengaruh atau influencer dalam Tik Tok atau Facebook sehingga sanggup mengetepikan pendidikan di peringkat lebih tinggi serta menolak tawaran kemasukan ke universiti.
Pelajar perlu berusaha untuk mendapatkan keputusan peperiksaan terbaik bagi merebut peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi dan tidak hanya duduk diam dengan menilai diri, kerana tindakan itu tidak akan dapat memajukan diri seperti orang lain yang telah berjaya, katanya.
Katanya, kemudahan kewangan dan biasiswa untuk melanjutkan pendidikan tinggi semakin banyak ditawarkan dengan mengambil contoh beliau sendiri mendapat tajaan sehingga berjaya melanjut pengajian ke peringkat doktor falsafah serta kini bergelar pensyarah universiti.
Saya sendiri berasal dari keluarga sederhana dan membesar di Kampung Jemoreng, Matu Mukah dan bersyukur kini mampu membanggakan ibu bapa dan keluarga saya.
Maka jangan berhenti belajar dan berusaha untuk menyambung pengajian setinggi yang boleh, dapatkan bantuan kewangan yang ada untuk itu, katanya.
Beliau berharap anak-anak Daro Mukah terus bertekad merebut peluang untuk melanjut pendidikan ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan kemahiran dalam bidang kepakaran berbanding bekerja awal di usia muda.
Terdahulu aktiviti lain yang turut diadakan ialah taklimat kemasukan ke universiti oleh Univesiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta aktiviti pengembangan pertanian tanaman hidroponik untuk penduduk Kampung Badong dan Kampung Semop.


Date of Input: 30/01/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcBAj~