UPMKB JAYAKAN PROJEK BINA SALURAN BEKALAN AIR BERSIH DI TELANG USAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » UPMKB JAYAKAN PROJEK BINA SALURAN BEKALAN AIR BERSIH DI TELANG USAN

UPMKB JAYAKAN PROJEK BINA SALURAN BEKALAN AIR BERSIH DI TELANG USAN

BINTULU: Projek gotong-royong membina saluran bekalan air bersih di kawasan pedalaman kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N77 Telang Usan telah diadakan pada 6 hingga 11 Mac lalu oleh 27 sukarelawan mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) yang diiringi tiga pensyarah.
Projek ini tertumpu di Kampung Long Suling dan Kampung Long Watt melibatkan dua kumpulan pelajar universiti serta pegawai pengiring tersebut.
Projek ini juga inisiatif Pejabat Residen Bahagian Miri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN N77 Telang Usan, Yayasan Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (IYC), Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHUMANITARIAN), Yayasan Pembangunan Kemanusiaan (HDF) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Long Suling dan Long Watt.
Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, projek komuniti ini merupakan khidmat masyarakat UPMKB bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman Telang Usan menikmati bekalan air bersih dengan menaik taraf saluran paip air sedia ada yang telah usang.
Melalui projek di bawah inisiatif Putra UPMKB ini, mahasiswa akan lebih cakna dan prihatin kepada isu komuniti, ujarnya semasa melepaskan peserta program itu di pekarangan UPMKB.
Hadir sama Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains merangkap ketua projek Dr Adrian Daud, Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan Dr Yasmin Yaccob, para pensyarah dan pegawai pejabat pengurusan pelajar UPMKB.
Sementara itu Dr Adrian berkata, sukarelawan dibahagikan kepada dua kumpulan di dua kawasan berasingan dengan kumpulan pertama 13 pelajar bersama dua pegawai pengiring iaitu beliau dan Beatrice Hardy menjalankan kerja di Kampung Long Suling.
Manakala kumpulan dua membabitkan 12 pelajar bersama Dr Faizul Nizar sebagai pegawai pengiring menjalankan tugasan di Kampung Long Watt, jelasnya.
Projek ini merupakan elemen teras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 6: Air dan Sanitasi serta SDG 16: Institusi Yang Kukuh.
Katanya, melalui projek ini mahasiswa didedahkan kepentingan semangat sukarela dalam membantu komuniti membangun ke arah yang lebih baik.
Pengalaman sebagai sukarelawan melalui projek ini merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi mereka sekali gus berharap usaha ini akan menjadi penggerak kepada penglibatan pihak berkepentingan lain bagi membangunkan sistem perpaipan baharu di kawasan pedalaman, katanya.

Date of Input: 21/03/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcRAJ~