TEKNOLOGI PERTANIAN BAHARU, PENDAPATAN PESAWAH DI LUBOK PUNGGOR MENINGKAT 60 PERATUS – ABANG JOHARI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » TEKNOLOGI PERTANIAN BAHARU, PENDAPATAN PESAWAH DI LUBOK PUNGGOR MENINGKAT 60 PERATUS – ABANG JOHARI

TEKNOLOGI PERTANIAN BAHARU, PENDAPATAN PESAWAH DI LUBOK PUNGGOR MENINGKAT 60 PERATUS – ABANG JOHARI

GEDONG, 2 Feb: Pendapatan para pesawah padi di Lubok Punggor dijangka meningkat kepada 60 peratus daripada pendapatan ketika ini dengan penghasilan tanaman padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam tempoh 24 bulan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hasil positif berkenaan akan dihasilkan menerusi kaedah model pertanian baharu yang dibangunkan oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu dan petani tempatan.
Kajian ini juga memberikan hasil, kalau padi ini dihasilkan melalui teknologi dan sistem yang saya sebutkan tadi, maka pendapatan para petani dijangka satu bulan sebanyak RM6,400.
Ini bermakna kalau RM6,000 satu bulan, ia sudah jadi ‘middle income group’ di mana petani kita tidak berada dalam kerangka kemiskinan, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri taklimat Projek Transformasi Padi @ Lubok Punggor daripada pihak UPM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, jika para petani tersebut mempunyai hasil daripada kegiatan atau pekerjaan yang lain, justeru itu mereka akan menghasilkan pendapatan yang berganda.
Kalau ada dua hektar bermakna RM12,000, jadi mereka adalah di dalam ‘high income group’ yang mana mereka dapat menghasilkan dasar pertanian yang akan memberikan pulangan yang besar.
Jadi saya rasa berterima kasih kepada UPM yang membuat kajian dan saya jangkakan model ini akan digunakan di tempat-tempat yang lain juga, katanya.
Beliau menambah, Sarawak kini mempunyai baka beras premium iaitu beras Biris dan satu lagi beras masih dalam kajian, iaitu benih beras yang diperoleh dari Vietnam yang akan dibangunkan di kawasan padi di Banting, Sri Aman. – TVS

Date of Input: 08/02/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdAA1~