SULTAN SELANGOR BANGGA KERJASAMA UPM BERSAMA PEJABAT PREMIER SARAWAK MAMPU BERI IMPAK KETERJAMINAN MAKANAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » SULTAN SELANGOR BANGGA KERJASAMA UPM BERSAMA PEJABAT PREMIER SARAWAK MAMPU BERI IMPAK KETERJAMINAN MAKANAN

SULTAN SELANGOR BANGGA KERJASAMA UPM BERSAMA PEJABAT PREMIER SARAWAK MAMPU BERI IMPAK KETERJAMINAN MAKANAN

BINTULU, 4 Nov - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bangga baginda terhadap kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Pejabat Premier Sarawak dalam Projek Transformasi Penanaman Padi AgriHub@Gedong.

Sultan Sharafuddin yang juga Canselor UPM bertitah projek tersebut mampu memberi impak kepada keterjaminan makanan Malaysia khususnya negeri Sarawak dalam peningkatan hasil beras tempatan.

Beta ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak kerana sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada UPM Kampus Bintulu (UPMKB).

Jalinan kerjasama bersama-sama kerajaan negeri membangunkan Negeri Sarawak ke arah Negeri Maju 2030. Beta juga percaya pelaksanaan Pelan Strategik UPM 2021-2025 telah memberi perkembangan positif kepada UPMKB, Sarawak, titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-47 sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang, hari ini.

Turut berkenan mengiringi baginda adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Sultan Sharafuddin bertitah penghasilan alumni UPMKB seramai 8413 orang graduan sejak pembukaan kampus pada tahun 2001 mampu menjadi fungsi penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir untuk keperluan sektor ekonomi negara.

Titah baginda, pendidikan yang berkualiti adalah teras kepada kesempurnaan pembangunan negara. Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menggariskan pendidikan berkualiti sebagai agenda penting bagi mengupayakan lagi potensi dan bakat masyarakat.

Selaras dengan matlamat ini, UPM telah berjaya menawarkan tiga program pengajian baharu iaitu, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan untuk Eksekutif yang mula ditawarkan pada Semester Pertama Sesi Akademik 2023/2024.

Manakala Program Asas Diploma pula akan ditawarkan bermula Semester ke-2 Sesi Akademik 2023/2024. Sesungguhnya Beta percaya bahawa usaha ini akan mengubah landskap pendidikan negara khususnya di Negeri Sarawak, sekaligus memenuhi keperluan sumber tenaga kerja pakar di negeri ini, titahnya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan tahniah kepada 487 graduan yang berjaya menamatkan pengajian di UPM Kampus Bintulu dan diraikan dalam majlis berkenaan.

Sidang pertama hari ini UPM dapat meraikan sembilan graduan PhD, 12 graduan Master, 84 graduan Bacelor dan 382 graduan Diploma, daripada program yang ditawarkan di UPM Kampus Bintulu. Tahniah Beta ucapkan.

Pada konvokesyen kali ini juga, kita turut meraikan graduan dua program graduan sulung iaitu Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan dan Diploma Pembangunan Manusia, titahnya. -UPM

Date of Input: 19/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdCA2~