SARAWAK BUKA 10,000 HEKTAR KAWASAN PADI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » SARAWAK BUKA 10,000 HEKTAR KAWASAN PADI

SARAWAK BUKA 10,000 HEKTAR KAWASAN PADI

SAMARAHAN : Sarawak yakin mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import untuk keperluan 2.9 juta rakyatnya dengan membuka empat kawasan penanaman padi berskala besar.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, keyakinan itu hasil kejayaan projek rintis penanaman padi hibrid di Kampung Lubok Punggur, Gedong.

Beliau berkata, projek rintis yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Global Farm Biotech sudah berjaya menghasilkan padi yang mampu mengeluarkan hasil tiga kali dalam tempoh 18 bulan.

Malah kuantiti padi hibrid yang dihasilkan pada setiap musim turut meningkat antara lapan hingga sepuluh tan berbanding hanya antara tiga hingga lima tan satu hektar bagi padi biasa yang ditanam pesawah tempatan sebelum ini.

Padi hibrid ini boleh ditanam di luar musim, misalnya seperti sekarang, sebab itu ia boleh ditanam tiga kali dalam tempoh 18 bulan, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke projek rintis penanaman padi hibrid itu di Kampung Lubok Punggur di Gedong, hari ini.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Abang Johari berkata, berikutan pengeluaran padi tempatan yang terhad, Sarawak kini terpaksa bergantung kepada beras import dari Semenanjung serta luar negara terutamanya Vietnam dan Thailand.

Ini kerana katanya, pengeluaran beras tempatan Sarawak hanya meliputi 34 peratus daripada keperluan beras untuk rakyat negeri ini.

Sebab itu kita membuka empat kawasan penanaman padi berskala besar dengan keluasan keseluruhan kira-kira 10,000 hektar iaitu di Kampung Lubok Punggur ini, Spaoh di Betong, Tanjung Bijat di Sri Aman dan Tanjung Purun di Lundu.

Jika semua 10,000 hektar kawasan itu mengeluarkan hasil tiga kali dalam tempoh 18 bulan bermakna Sarawak mampu menghasilkan 200,000 tan padi hibrid setahun sekali gus kita mencapai penghasilan 80 peratus beras untuk keperluan tempatan di Sarawak sahaja, katanya.

Date of Input: 12/10/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAI~