PROGRAM KOMUNITI BDA DIJAYAKAN DI SK RUMAH KESENG ULU TATAU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » PROGRAM KOMUNITI BDA DIJAYAKAN DI SK RUMAH KESENG ULU TATAU

PROGRAM KOMUNITI BDA DIJAYAKAN DI SK RUMAH KESENG ULU TATAU

BINTULU: Guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Keseng Ulu Tatau disantuni dengan pelbagai program oleh agensi kerajaan dan universiti tempatan melalui Program Jalinan dan Jaringan Bersama Komuniti di sekolah itu baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Bintulu serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

Antara aktiviti yang diadakan meliputi 200 peserta adalah penyampaian sumbangan, ceramah motivasi dan penanaman anak pokok spesies tempatan di pekarangan sekolah tersebut.

Pengarah program Lydia Soloma Jalong berkata, melalui aktiviti perkongsian ilmu berkaitan, pihaknya berharap generasi muda dapat membantu dalam pengurusan alam sekitar pada masa depan untuk kelestarian pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di bahagian ini.

Katanya, aktiviti menanam anak pokok menggalakkan pelbagai impak positif selari dengan Pelan Strategik BDA 2024-2030 menuju hab bandar industri rendah karbon.

Ia membantu menangani perubahan iklim dengan penyerapan karbon dioksida, meningkatkan kualiti udara dan mengurangkan hakisan serta memulihara habitat hidupan liar, katanya.

Beliau berkata, sebanyak 15 anak pokok spesies tempatan iaitu belian (Eusideroxylon Zwageri) dan lapan pokok landskap iaitu pokok doa (Bucida molineti) telah ditanam di sekitar kawasan sekolah tersebut.

Berucap merasmikan program itu, Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Alam Sekitar BDA Maimunah Matali berkata, program itu diharap memberi manfaat kepada sekolah berkenaan dan masyarakat sekitarnya.

Kita ingin memotivasi para pelajar untuk menjadi generasi holistik dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan bandar khususnya di Bintulu, katanya.

Justeru katanya, dalam usaha itu BDA menyumbang perabot untuk pusat sumber, buku-buku dan perkakasan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi menambah baik fasiliti asas sedia ada, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.

Pada masa sama, ceramah berkaitan kesedaran kelestarian alam sekitar turut disampaikan NREB, perkongsian ilmu berkaitan hidupan liar oleh UPMKB, pertandingan mewarna bertemakan Sayangi Bumi oleh JAS, demonstrasi masakan pai ayam untuk kemakmuran komuniti serta kuiz roda flora dan fauna Taman Tumbuhan dan Binatang (TUMBINA) BDA.

Program ini untuk menerap pengetahuan, ilmu baharu serta kemudahan asas dalam menghadapi cabaran mendatang selari dengan ulang tahun ke-45 BDA dan 60 Tahun Sarawak Merdeka serta membentuk masyarakat bersemangat, berdaya tahan dan mampan termasuk mentransformasikan persekitaran dan kemudahan di sekolah tersebut.

Date of Input: 12/10/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcEA1~