PROGRAM JALINAN DAN JARINGAN BANTU TRANSFORMASI PERSEKITARAN SK LABANG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » PROGRAM JALINAN DAN JARINGAN BANTU TRANSFORMASI PERSEKITARAN SK LABANG

PROGRAM JALINAN DAN JARINGAN BANTU TRANSFORMASI PERSEKITARAN SK LABANG

BINTULU: Program Jalinan dan Jaringan bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Labang Hulu Sebauh diadakan baru-baru ini untuk membantu mentransformasi persekitaran sekolah tersebut kepada suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.

Beberapa aktiviti berbentuk sumbangan sempena ulang tahun ke 45 Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan 60 tahun Sarawak Merdeka diadakan pada Isnin lalu.

Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Perancangan dan Hartanah BDA Prie Nyangan berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui perkongsian ilmu baharu dalam pembelajaran dan menambah baik kualiti persekitaran sekolah.

Semua manfaat tersebut berlandas kepada matlamat untuk mewujudkan generasi masa depan yang holistik dan seimbang, katanya ketika menyempurnakan perasmian program bertemakan Masyarakat Bersemangat, Berdaya Tahan dan Mampan tersebut.

Menurutnya, program permuafakatan antara pelbagai agensi kerajaan dan sekolah penting bagi mewujudkan perhubungan erat atau kesepakatan dalam pelaksanaan aktiviti seumpamanya.

Justeru, BDA telah menyumbang barang keperluan asas kepada sekolah SK Labang bagi meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran serta mutu pendidikan, antaranya Android TV 55 inci berserta pakej Njoi, kerusi, meja, rak buku, pentas mini dan bahan-bahan bacaan.

Diikuti program ceramah berkaitan kesedaran kelestarian alam sekitar oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan perkongsian maklumat dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) berkaitan hidupan liar.

Turut diadakan pertandingan mewarna untuk murid-murid sekolah tersebut bertemakan Sayangi Bumi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Bintulu dan perkongsian kemahiran memasak pai ayam oleh kakitangan BDA dengan guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Labang.

Selain itu, aktiviti penanaman pokok juga diadakan bagi mewujudkan impak positif selari dengan Pelan Strategik BDA Ke Arah Hub Perindustrian Rendah Karbon dalam menangani perubahan iklim melalui penyerapan karbon dioksida, meningkatkan kualiti udara, mengurangkan hakisan dan mewujudkan habitat lain.

Sebanyak 10 anak pokok spesies tempatan dari jenis belian (Eusideroxylon Zwageri) dan enam pokok landskap dari dua spesies pokok doa (Bucida molineti) dan pokok sangkakala (Tabebuia pentaphylla) telah ditanam di sekitar kawasan sekolah tersebut.

Jurucakap UPMKB berkata, penglibatan pihak berkepentingan seperti BDA, UPMKB, NREB dan JAS berupaya melonjakkan ekosistem sekolah bagi merealisasikan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Ia dapat membantu mengurangkan jurang dari segi kemudahan infrastruktur asas dalam menghadapi cabaran yang mendatang untuk sekolah luar bandar.

Seramai 200 peserta terlibat secara aktif dalam program ini terdiri daripada pelajar-pelajar, guru-guru SK Labang, BDA, JAS, NREB dan UPMKB, katanya.

Date of Input: 15/08/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcFAe~