MAKMAL UPM & UNIVERSITI SWINBURNE SARAWAK AKAN DIBINA DI MINI ISTHMUS GEDONG | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » MAKMAL UPM & UNIVERSITI SWINBURNE SARAWAK AKAN DIBINA DI MINI ISTHMUS GEDONG

MAKMAL UPM & UNIVERSITI SWINBURNE SARAWAK AKAN DIBINA DI MINI ISTHMUS GEDONG

GEDONG: Makmal kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Swinburne Sarawak akan dibina di Mini Isthmus, Gedong di mana projek pembinaan kompleks baharu di Gedong itu kini sudahpun bermula.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, kedua-dua makmal tersebut akan mempunyai tujuan yang berbeza namun bersama-sama meningkatkan sektor pertanian di kawasan Gedong.
Kita akan mempunyai makmal untuk universiti pertanian dan juga Universiti Swinburne Sarawak.
Makmal bagi Universiti Swinburne ini akan lebih memfokuskan kepada teknologi yang akan digunakan dalam pertanian yang menggunakan kaedah digitalisasi dalam penyimpanan data hasil pertanian, jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Projek Agrihub @Gedong di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kedua-dua makmal serta fasiliti lain seperti pejabat pentadbiran dan pusat komersial dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2025 dan akan dibangunkan dari peringkat ke peringkat sehingga tahun 2027 bagi peringkat pertama pembinaan Mini Isthmus tersebut.
Selain daripada fasiliti tersebut, antara lain yang akan ditingkatkan di kawasan Gedong termasuklah bekalan elektrik dan air di bawah salah satu projek meningkatkan infrastruktur asas di kawasan Gedong bagi kemudahan masyarakat setempat.
Dalam sidang media tersebut, beliau merakamkan penghargaan dan berharap agar pihak terlibat dan pihak yang bertanggungjawab dapat terus memberikan kerjasama dalam usaha memacu kemajuan infrastruktur di kawasan Gedong.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, wakil khas kepada ADUN Gedong Dato Sri Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Setiausaha Sulit Kanan kepada Premier Sarawak Dato Khir Busrah, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Sr Zaidi Mahdi, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS

Date of Input: 08/02/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcEA1~